Bukan hanya ternak ikan, anak muda dapat latihan, mentor industri dan elaun lagi
Anak muda yang mahu menceburi bidang akuakultur kini berpeluang mendapatkan latihan praktikal, bimbingan mentor industri dan elaun bulanan menerusi Program Pembangunan Usahawan Akuakultur Muda.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui projek ternakan ikan tilapia berteknologi bioflok di MARDI Klang.

Menurutnya, projek itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan bekalan ikan tempatan, malah membuka laluan kepada anak muda untuk membina kemahiran dan pengalaman dalam industri akuakultur moden.
“Teknologi moden, peluang anak muda, bekalan ikan untuk rakyat.
“Kita nak ketiga-tiganya bergerak serentak,” katanya.
Beliau yang mesra dipanggil Bang Mat berkata demikian sempena pelancaran Operasi Projek Ternakan Ikan Tilapia Dalam Tangki Menggunakan Teknologi Bioflok di MARDI Klang.
“Projek ini dibiayai melalui Dana Program Keterjaminan Makanan KPKM sebanyak RM2 juta,
melibatkan tapak seluas empat ekar dengan 40 tangki bioflok serta kemudahan pemprosesan hasil, bekalan kuasa sandaran dan rawatan air buangan,” kata beliau.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, teknologi bioflok merupakan sistem akuakultur moden yang mesra alam, menjimatkan air dan mengoptimumkan penggunaan ruang.
“Insya-Allah apabila beroperasi sepenuhnya, 40 tangki ini dijangka menghasilkan 120 tan metrik tilapia setahun, dengan anggaran nilai pasaran RM1.2 juta,” ujarnya menerusi perkongsian di media sosial rasmi beliau.
Projek rintis
Lebih menarik, projek itu turut memberi peluang kepada empat pelatih muda untuk menyertai Program Pembangunan Usahawan Akuakultur Muda.
Mohamad berkata, mereka terbabit akan menjalani latihan praktikal dengan bimbingan mentor industri dan Pejabat Perikanan Negeri Selangor.
Sepanjang satu pusingan ternakan, setiap pelatih turut menerima elaun RM900 sebulan.
“Bang Mat harap projek ini boleh menjadi projek rintisan untuk dicontohi dan diperluaskan ke kawasan lain di seluruh Malaysia.
“Kita mahu industri akuakultur berkembang, anak muda mendapat peluang dan pada masa yang sama bekalan protein ikan tempatan serta keterjaminan makanan negara terus diperkukuh.
“Insya-Allah, kita usaha sama-sama,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Merapunya tohmahan Asyraf Wajdi, pelaburan era PH tertinggi cecah RM426.7 bilion