Kini import jagung 2.5 juta tan setahun, Bang Mat fokus kuatkan pengeluaran tempatan
Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada import jagung bijian yang mencecah purata 2.5 juta tan metrik setahun bernilai lebih RM3 bilion, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Lebih mesra disapa dengan Bang Mat, beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik dunia menunjukkan Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada sumber bekalan dari luar negara, terutama bagi komoditi yang penting kepada rantaian bekalan makanan.
“Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berada di Sepang bagi melancarkan varieti jagung bijian tempatan serta penanaman jagung bijian berskala besar menerusi tema “Memperkasa Industri Jagung Bijian, Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara.”
Menurutnya, usaha itu merupakan antara langkah kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara dengan membangunkan sumber pengeluaran tempatan.
Mohamad berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kadar sara diri (SSR) bagi pengeluaran jagung bijian tempatan sebagai benteng sekiranya berlaku gangguan bekalan dari luar negara.
“Kenapa usaha ini penting?
“Malaysia mengimport purata 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun, bernilai lebih RM3 bilion, bagi tempoh 2010 hingga 2024,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan pengeluaran tempatan itu turut membabitkan kerjasama antara kerajaan dan pihak industri.
Katanya, komitmen tersebut mula diterjemahkan kepada penanaman sebenar selepas kerajaan dan Genting Plantations Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
“Dua tahun lalu, semasa MAHA 2024, kerajaan dan Genting Plantations Berhad menandatangani MoU.
“Hari ini, komitmen itu sudah diterjemahkan kepada penanaman sebenar di lapangan,” katanya.
Setakat ini, katanya, sebanyak 49.13 hektar kawasan telah dibangunkan manakala 15.51 hektar sudah ditanam dengan jagung bijian.
Keluasan penanaman itu disasarkan meningkat kepada 100 hektar menjelang 2027.
Dalam masa sama, Mohamad berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya membangunkan varieti jagung bijian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap benih dari luar.
Kerajaan, katanya, menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada benih import sebanyak 30 peratus menjelang 2040.
Mohamad menegaskan, usaha membangunkan industri jagung bijian tempatan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.
Sebaliknya, kerjasama antara pemain industri, agensi kerajaan, penyelidik dan pelabur diperlukan bagi memastikan industri berkenaan dapat berkembang secara berskala besar dan berdaya saing.
“Kita perlukan kerjasama industri, agensi, penyelidik dan pelabur untuk membangunkan industri jagung bijian yang berskala besar, moden, berdaya saing dan dipacu pasaran,” katanya.
Menurutnya, penanaman jagung bijian tempatan bukan sekadar projek pertanian, sebaliknya sebahagian daripada strategi jangka panjang negara dalam menghadapi risiko gangguan rantaian bekalan makanan global.
BACA JUGA ‘Sakau’ TH, semoga Allah hukum mereka sekeras-kerasnya – Dr Danial