Menang timbang tara belum tentu duit kembali, TH mungkin hanya dapat sebahagian RM978 juta

Lembaga Tabung Haji (TH) berdepan cabaran besar untuk mendapatkan semula keseluruhan award timbang tara bernilai SAR899 juta (kira-kira RM978 juta) daripada Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda), dengan kejayaan pemulihan banyak bergantung kepada kemampuan menjejak dan menguatkuasakan aset pihak berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Iqbal Mohd Noor berkata kemenangan dalam prosiding timbang tara tidak semestinya bermaksud jumlah yang diperintahkan untuk dibayar dapat dikutip sepenuhnya.

“Isu utama pada peringkat ini ialah sama ada pihak yang bertanggungjawab mempunyai aset yang mencukupi, boleh dikenal pasti dan boleh dikuatkuasakan bagi memenuhi award tersebut,” katanya.

Menurut laporan Bernama, daripada keseluruhan award SAR899 juta itu, TH setakat ini hanya menerima SAR14.9 juta, bersamaan kira-kira 1.7 peratus, manakala usaha mendapatkan baki tersebut bergantung kepada keupayaan Al-Rawda dan pihak berkaitan memenuhi award berkenaan.

Mohd Iqbal berkata bagi transaksi bernilai tinggi, pelabur lazimnya memerlukan perlindungan kewangan yang kukuh, termasuk cagaran aset dan jaminan bank, sementara Nota Janji serta jaminan peribadi boleh berfungsi sebagai lapisan perlindungan tambahan.

Katanya, sekiranya sesuatu pelaburan diteruskan tanpa jaminan bank dan ketika proses penilaian masih belum lengkap, keadaan itu boleh mencerminkan kelemahan dalam aspek tadbir urus serta proses membuat keputusan pelaburan.

“Apabila risiko dikenal pasti tetapi mekanisme kawalan tidak berfungsi, mekanisme tersebut dikira gagal dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata tumpuan dalam isu berkenaan tidak seharusnya hanya diberikan kepada persoalan sama ada pelaburan itu menghasilkan keuntungan atau kerugian, sebaliknya turut melihat bagaimana risiko dikenal pasti, dinilai dan dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) pelaburan luar negara oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diperkukuh dengan penilaian berperingkat meliputi aspek risiko, undang-undang dan komersial sebelum dana disalurkan.

Menurutnya, syarikat penerima dana juga wajar menyediakan jaminan daripada institusi kewangan kukuh atau cagaran aset yang mempunyai nilai setara, manakala penyaluran dana dibuat secara berperingkat berdasarkan pencapaian prestasi yang ditetapkan.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan tindakan awal diambil sekiranya prestasi pelaburan mula merosot, manakala sebarang pengecualian daripada syarat ditetapkan perlu mendapat kelulusan lebih tinggi dan disokong justifikasi yang direkodkan dengan jelas.

Mengenai kedudukan kewangan TH, Mohd Iqbal berkata rosot nilai penuh berjumlah RM1 bilion pada 2024 menunjukkan institusi itu mengambil pendekatan konservatif dengan mengambil kira kemungkinan kerugian terhadap aset berkenaan.

Namun, katanya, rosot nilai tersebut tidak bermakna usaha mendapatkan semula wang berkenaan perlu dihentikan kerana masih terdapat kemungkinan aset pihak berkaitan dapat dikesan dan dikuatkuasakan.

“Pendekatan TH pada masa ini boleh dianggap munasabah, iaitu tidak lagi menganggap jumlah tersebut pasti akan diterima, tetapi pada masa yang sama terus berusaha mendapatkan semula sebanyak mungkin melalui penjejakan dan penguatkuasaan terhadap aset yang masih boleh dikenal pasti,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme semakan bebas yang telus dan kukuh bagi mempertingkat proses penilaian pelaburan, khususnya dalam transaksi luar negara bernilai besar, tanpa semestinya menubuhkan agensi baharu.

Katanya, mekanisme tersebut perlu disokong penilai yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan, undang-undang antarabangsa dan industri berkaitan bagi memastikan risiko dinilai secara lebih menyeluruh sebelum sesuatu pelaburan diluluskan.

BACA JUGA Integriti penjawat awam makin baik, KSN dedah tanda-tanda positif