Islam tak perlukan Pas untuk jadi suci, Pas juga tak jadi suci guna nama Islam
Oleh MOHD ZAID ALI
Ucapan seperti “dua ekor ulama DAP”, “ulama makan upah DAP” dan “kafir harbi” bukan sekadar makian politik.
Ia memperlihatkan satu gejala yang lebih serius, apabila politik disakralkan, lawan politik mula dinilai dengan neraca agama.
Bermula dengan perbezaan pandangan. Kemudian dianggap tidak memahami perjuangan Islam.
Selepas itu dilabel “ulama DAP”. Naik satu tingkat lagi, dituduh “makan upah DAP”. Akhirnya, terus dihukum sebagai “kafir harbi”.
Begitulah apabila perbezaan politik tidak lagi dijawab dengan hujah, tetapi dinaikkan sedikit demi sedikit menjadi persoalan agama.
Hebat juga perjalanan sebuah perbezaan pendapat. Daripada sekadar tidak sehaluan, akhirnya terus mendapat tiket untuk dilabel sebagai musuh agama.
Inilah yang berlaku apabila parti terlalu rapat dengan naratif “perjuangan Islam”.
Bila parti dianggap mewakili Islam, mempertahankan parti terasa seperti mempertahankan agama. Maka mengkritik parti pula terasa seperti menyerang agama.
Akhirnya, lahirlah logik yang mudah ulama yang menyokong kita dianggap berani, yang mengkritik dilabel “ulama DAP”, yang berbeza pendapat dicurigai, dan yang menyebelahi lawan dituduh “makan upah”.
Tidak perlu jawab hujah, cukup serang label dan peribadi. Ironinya, ukuran ilmu ulama pula berubah mengikut arah politik bila memihak, ilmunya dipuji; bila berbeza, kewibawaannya dipersoalkan.
Bila pendapatnya menyebelahi kita, dia “ulama”. Bila tidak, tiba-tiba perlu dipersoalkan keulamaannya.
Nampaknya ukuran ilmu bukan lagi hujah dan dalil, tetapi ke mana undi dan sokongan politiknya pergi.
Ini bukan majlis ilmu. Ini ‘fan club’ yang kebetulan memakai bahasa agama.
Cemuhan politik
Yang lebih membimbangkan ialah penggunaan istilah “kafir harbi” sebagai cemuhan politik.
Istilah hukum yang mempunyai sejarah, syarat dan perbahasan fiqh yang panjang tidak boleh ditukar menjadi sejenis kata makian premium untuk sesiapa yang tidak kita sukai.
Tidak menyokong Pas bukan bermakna seseorang meninggalkan Islam. Mengkritik Pas bukan bermakna seseorang memusuhi Islam.
Memilih DAP atau parti lain bukan lesen untuk seseorang dilucutkan maruahnya sebagai Muslim.
Dan seorang ulama tidak menjadi kurang berilmu hanya kerana pendapat politiknya berbeza daripada kita.
Kalau hujah lemah, jawab hujah. Kalau fakta salah, betulkan fakta. Kalau pendapat berbeza, jawab dengan ilmu.
Tidak perlu keluarkan katalog gelaran ulama DAP, liberal, munafik, makan upah, pengkhianat, kafir harbi.
Itu bukan kemenangan hujah. Itu tanda hujah sudah kehabisan peluru.
Di sinilah sakralisasi politik menjadi berbahaya.
Dosa moral
Apabila parti disamakan dengan perjuangan Islam, kesetiaan kepada parti boleh berubah menjadi kesetiaan agama, manakala perbezaan politik pula berubah menjadi dosa moral.
Lalu yang dipertahankan bukan lagi prinsip Islam, tetapi kelompok sendiri.
Ironinya, agama yang sepatutnya mengajar keadilan kepada kawan dan lawan akhirnya boleh diseret untuk membenarkan double standard.
Apa yang dilakukan kelompok sendiri dianggap hikmah, strategi dan maslahat; apabila dilakukan lawan, dicurigai sebagai kepentingan tersembunyi.
Kelompok sendiri dikatakan mempertahankan prinsip, kelompok lawan pula dituduh menggadaikannya.
Akhirnya, prinsip yang sama dinilai dengan neraca berbeza mengikut siapa yang melakukannya.
Itu bukan konsistensi agama, tetapi kesetiaan kelompok yang dibungkus dengan bahasa agama.
Kalau semua perkara boleh berubah hukumnya mengikut siapa yang melakukannya, yang sebenarnya kita pertahankan bukan prinsip. Kita sedang mempertahankan orang kita.
Dan apabila hampir setiap lawan politik akhirnya dilabel sebagai “musuh Islam”, kita wajar berhenti sejenak dan bermuhasabah;
Adakah benar musuh Islam semakin ramai, atau kita yang semakin mudah menjadikan perbezaan politik sebagai ukuran siapa musuh agama?
Islam tidak memerlukan Pas untuk menjadi suci. Pas juga tidak menjadi suci kerana menggunakan nama Islam.
Islam ialah neraca untuk menilai parti, bukan parti menjadi neraca untuk menentukan siapa yang lebih Islamik.
Maka, jangan gunakan agama sebagai perisai untuk mengelakkan kritikan, dan jangan jadikan istilah syarak sebagai senjata untuk melabel lawan politik.
Jika parti benar, pertahankan dengan hujah; jika pemimpin baik, buktikan dengan rekod; jika dasar berkesan, tunjukkan hasilnya.
Dalam politik, hujah menguatkan pendirian, fakta membela pemimpin dan prestasi membuktikan dasar bukan label agama.
Jika untuk mempertahankan parti kita terpaksa mempertikaikan iman dan keikhlasan orang yang berbeza pendapat, mungkin yang sedang kita pertahankan bukan lagi Islam.
Mungkin kita cuma terlalu setia/taasub kepada parti.
BACA JUGA Bahaya tuduhan ‘barua harbi’, 63 tahun lalu mufti sudah pun tegur kafir-mengkafir dosa besar