Demi penyatuan ummah, Hadi cerita anjing sekampung pula untuk pikat Umno
Presiden Pas,Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil dengan perumpamaan luar biasa ketika cuba memujuk penyokong Umno supaya membantu Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan.
Kali ini, beliau memilih kisah anjing sekampung yang bergaduh sesama sendiri, tetapi boleh bersatu apabila muncul ancaman dari luar.
“Saya sebut tadi, anjing kadang-kadang lebih pandai daripada kita. Anjing dalam kampung kita berkelahi,” katanya.
Menurut Hadi, anjing yang sedang bergaduh akan segera menghentikan perseteruan apabila muncul rusa, kijang atau anjing dari luar kampung.
“Bila rusa, kijang atau anjing dari luar, dia bersatu kejar,” katanya.
Namun, ‘perpaduan’ itu tidak perlu bertahan lama. Selepas ancaman luar berjaya diusir, kata Hadi, mereka boleh kembali bergaduh seperti biasa.
“Lepas itu dia berkelahi baliklah. Nak berkelahi, berkelahilah,” katanya.
Berpandukan perumpamaan tersebut, Hadi meminta penyokong Umno “berehat sekejap” daripada perseteruan politik dan menyokong PN mengambil alih terlebih dahulu kerana keadaan Umno didakwanya sedang “keruh”.
Jika diterjemahkan dalam bahasa politik, Pas dan Umno tidak perlu pun benar-benar berdamai atau membina kerjasama yang ikhlas. Cukup sekadar bersatu sementara untuk mengalahkan musuh bersama.
Begitulah versi terbaharu tawaran politik Hadi kepada Umno sokong PN dahulu, ambil alih pemerintahan, kemudian bolehlah sambung bergaduh.
Daripada slogan “penyatuan ummah”, kini penyokong Umno disajikan pula dengan cerita anjing, rusa dan kijang bagi menjelaskan mengapa mereka perlu membantu PN kembali berkuasa.
BACA JUGA RENCANA : Reformasi PMX : Antara perubahan struktur, pencapian dan cabaran pelaksanaan