Kalimantan terbakar, warga Indonesia mohon PM Anwar pertimbang bantuan
Seorang pengguna Threads dari Indonesia merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan bantuan Malaysia susulan kebakaran yang melanda Kalimantan.
Menerusi satu hantaran, pengguna berkenaan berharap kerjasama negara jiran dapat membantu melengkapkan usaha menangani situasi tersebut.
“PM Anwar Ibrahim, saya tahu ini bukan negara anda. Tetapi apabila kerajaan kami sendiri dilihat belum dapat mendengar semua keresahan rakyat, mungkin jiran kami boleh membantu,” katanya.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan penduduk berdepan pencemaran asap, selain memberi kesan terhadap kawasan hutan dan hidupan liar.
Pengguna tersebut turut menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan penduduk yang terjejas dan berharap tindakan lebih menyeluruh dapat digerakkan.
“Kalimantan sedang terbakar. Orang ramai menghirup asap. Hutan dan hidupan liar sedang dimusnahkan,” tulisnya.
Justeru, beliau memohon Malaysia mempertimbangkan bantuan pemadaman kebakaran, tindak balas bencana atau kemanusiaan sekiranya mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.
BACA JUGA RM1.165 trilion dalam 7 bulan : Eksport Malaysia pecah rekod lagi