Hanya pandai teriak Islam, Zunar tempelak penyokong Pas curi kartun

Kartunis politik terkenal, Zunar menempelak sikap penyokong Pas selepas karya kartunnya mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji diambil, diubah suai dan dimuat naik semula tanpa kebenarannya.

Zunar mendakwa sebuah akaun Facebook menggunakan nama “PAS PN Seluruh Malaysia” telah menggunakan kartun yang dihasilkannya minggu lalu sebelum melakukan pengubahsuaian terhadap karya berkenaan.

Lebih menyengat, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, mempersoalkan akhlak penyokong Pas yang kononnya lantang membawa imej dan slogan Islam dalam gelanggang politik.

“Saya hairan, apakah ahli-ahli Pas ini hanya pandai teriak Islam di mulut, tetapi akhlaknya buruk,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Beliau turut melontarkan sindiran lebih tajam dengan bertanya sama ada tarbiah dalam Pas membenarkan seseorang mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

Menurut Zunar, 64, insiden terbaharu itu bukan kali pertama beliau berdepan dakwaan penggunaan serta pengubahsuaian kartunnya oleh individu yang dikaitkan dengan Pas.

Dalam satu kes berasingan sebelum ini, beliau berkata, seorang pemimpin Pas Melaka, Azmi Haji Ali, turut mengambil dan mengubah suai kartunnya sebelum memuat naik karya berkenaan menerusi akaun Facebook.

Zunar berkata perkara tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kes berkenaan, kata Zunar, kini dalam proses mahkamah dengan prosiding seterusnya dijadualkan pada 23 Oktober depan.

Untuk rekod, Zunar menjadi kartunis sepenuh masa pertama yang menerima anugerah berprestij, International Press Freedom Award pada 2015 daripada Committee to Protect Journalists (CPJ), New York.

Beliau juga pernah merupakan penerima anugerah Cartooning for Peace dalam International Cartoonist Award 2016 di Geneva bersama kartunis Kenya, Gado.

Anugerah itu disampaikan dalam majlis yang dihadiri bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan.

BACA JUGA Masa harga telur murah tak tahu bersyukur, dah naik terus orang PN menggelupur