Sebelum lafaz syahadah, ADUN Pitas ini dipuji sediakan van percuma bawa pesakit ke hospital
Nama ADUN Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah menjadi perhatian selepas beliau bersama isteri dan anaknya memeluk Islam hari ini.
Tular kembali kisah wakil rakyat Sabah dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menyediakan pengangkutan percuma bagi membantu penduduk mendapatkan rawatan di hospital.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Ray Raynee, Ruddy dikatakan menyediakan perkhidmatan van percuma khusus untuk membawa pesakit dari kawasan Pitas yang mempunyai temu janji rawatan di Kota Kinabalu.
Antara hospital yang disenaraikan ialah Hospital Queen Elizabeth I, Hospital Queen Elizabeth II serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.
Bagi penduduk luar bandar yang perlu menempuh perjalanan jauh ke Kota Kinabalu, kemudahan seperti itu banyak membantu mereka.
Bukan hanya kos rawatan, penduduk turut berdepan perbelanjaan minyak, tambang dan pengangkutan setiap kali perlu hadir temu janji.

“Usaha ini sangat membantu rakyat. Van yang disediakan juga selesa dan memudahkan pesakit mendapatkan rawatan tanpa memikirkan kos perjalanan.
“Semoga usaha ini menjadi contoh kepada ADUN di kawasan lain. Di kawasan kamu, ada juga perkhidmatan macam ini? Jika tiada boleh kongsikan post ini ke wakil rakyat kamu,” kata Ray Raynee.
Memeluk Islam
Hari ini, Ruddy, 58, sekali lagi menjadi perhatian apabila beliau bersama isterinya, Datin Seri Asiah Udin dan anak mereka, Aswady secara rasmi memeluk Islam.
Mereka melafazkan dua kalimah syahadah di kediaman keluarga mereka di Kampung Salimpodon Laut, Pitas dengan bimbingan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Melafazkan dua kalimah syahadah secara bersama-sama, mereka kemudian mengulanginya secara bergilir-gilir, diikuti bacaan pengertiannya dalam bahasa Melayu.
Majlis disusuli dengan laungan azan, bacaan ayat suci al-Quran, selawat serta kenduri kesyukuran.
Selain Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turut menyaksikan detik bersejarah itu adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Islam negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Sebelum ini, Ruddy dilaporkan sudah lebih 10 tahun mendekati dan mendalami Islam sebelum memilih untuk melafazkan syahadah atas keikhlasan diri beliau sendiri.
Walaupun semasa masih memegang kepercayaan pagan, beliau mengambil inisiatif melantik sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran di Pitas.
Dilaporkan, setiap seorang guru Fardu Ain berkenaan menerima bayaran RM1,000 sebulan daripada wang peribadi Ruddy.
BACA JUGA Masa harga telur murah tak tahu bersyukur, masa naik terus orang PN menggelupur