Tak mahu ulang drama lama, PH-BN disaran ‘ikat’ kerjasama sebelum PRN Melaka

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disaran memeterai satu bentuk perjanjian lebih jelas jika kedua-dua gabungan itu bersetuju bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah itu penting supaya kerjasama kedua-dua pihak tidak hanya bergantung kepada persefahaman politik, sebaliknya mempunyai asas yang lebih tersusun, kukuh dan padu.

Menurut Ahli Parlimen Sepang berkenaan, pengalaman kerjasama PH-BN di peringkat Kerajaan Perpaduan menunjukkan hubungan politik antara kedua-dua blok masih boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Dalam proses gerakan kerjasama kita bagi menghadapi PRN Melaka dan seperti juga di peringkat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, saya melihat perlunya ada usaha menambah baik secara berterusan dilakukan.

“Jika sebelum ini tiada perjanjian, maka selepas ini kena ada perjanjian supaya kerjasama itu lebih kukuh dan lebih padu,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Wanita AMANAH Negeri Sembilan 2026 hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Wanita AMANAH Nasional berkenaan menegaskan perkara itu masih bergantung kepada rundingan antara pucuk pimpinan PH dan BN.

Katanya, PH pada dasarnya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang sanggup membentuk persefahaman bagi menghadapi PRN Melaka, termasuk BN.

Namun, beliau mengingatkan supaya proses rundingan itu tidak diganggu dengan terlalu banyak andaian atau tekanan sehingga menjejaskan usaha mencari formula terbaik.

“Biarlah rundingan berlangsung dengan baik dan lancar,” katanya.

Kata sepakat

Pada masa sama, Aiman Athirah tidak menolak kemungkinan PH dan BN membawa haluan masing-masing jika rundingan kerjasama akhirnya tidak menemui kata sepakat.

“Kalau tak ada kerjasama, maka saya fikir akan berlaku seperti mana di PRN Johor dan Negeri Sembilan. Itu kita tengok dululah, terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan,” katanya.

Tambah beliau lagi, apa juga bentuk kerjasama yang diputuskan kelak perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai pertimbangan utama, bukan semata-mata soal pembahagian kerusi atau percaturan parti.

Untuk rekod, mandat semasa kerajaan negeri Melaka akan berakhir pada penghujung Disember ini.

Dalam PRN Melaka 2021, BN menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi manakala PH lima dan PN dua.

Walau bagaimanapun, PH telah menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri pada Julai lalu selepas lima ADUN PH menolak pindaan Perlembagaan Negeri berhubung pewujudan ADUN lantikan.

BACA JUGA Tiga tahun dah cukup PH buat kerja, Pas boleh pula pegang Kelantan lebih 30 tahun