Aiman Athirah cabar Hadi buktikan tuduhan di mahkamah, jangan jadikan politik medan ‘audit iman’

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Wanita AMANAH Negeri Sembilan Merdeka Jiwa Segar Perjuangan “AWAN Bersama Rakyat” oleh YB Datuk Hjh. Aiman Athirah Sabu Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. 23hb Ogos 2026 (Ahad)

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membawa tuduhan terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH) ke mahkamah sekiranya benar mempunyai bukti bahawa gabungan itu mengancam Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan kepentingan orang Melayu.

Beliau berkata Islam meletakkan prinsip yang jelas bahawa pihak yang membuat tuduhan wajib mengemukakan bukti, bukannya memindahkan beban kepada pihak yang dituduh untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Kalau betul ada 20 perkara yang dikatakan telah dilakukan oleh DAP dan Pakatan Harapan sehingga menjejaskan kedudukan Islam, saya cabar bawa terus ke mahkamah. Bukti wajib dikemukakan oleh pihak yang menuduh. Jangan sampai politik kita menjadi medan pagi, petang, siang dan malam untuk mengaudit iman dan Islam orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Wanita Amanah Negeri Sembilan 2026 bertemakan “Merdeka Jiwa Segar Perjuangan: AWAN Bersama Rakyat” di Klana Resort, Seremban. Turut hadir Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman juga sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ketua Wanita Amanah (Angkatan Wanita Amanah Negara – AWAN) Negeri Sembilan Zarinna Abu Zarin.

Aiman berkata politik yang memainkan sentimen agama dan kaum memberi kesan besar kepada persepsi pengundi, termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan dapatan yang dirujuk daripada Ilham Centre, kira-kira 67 peratus pengundi dipercayai menerima naratif kononnya DAP menjadi ancaman kepada adat, institusi diraja dan kedudukan Melayu, walaupun pada masa sama sekitar 80 peratus mengakui keberkesanan pentadbiran PH sebelum ini.

“Ini yang kita kena bedah betul-betul. Kalau pentadbiran diakui baik tetapi naratif ketakutan masih boleh mengubah keputusan pengundi, maka kita perlu belajar bagaimana menangani politik persepsi dan fitnah,” katanya.

Aiman pada masa sama mengingatkan ahli Amanah supaya tidak membalas politik kebencian dengan pendekatan yang sama kerana kekuatan parti itu, katanya, mesti terus berteraskan amanah, akhlak dan rahmah.

Menurutnya, majoriti pengundi bukan ahli mana-mana parti dan kelompok atas pagar lebih mudah mengingati pemimpin yang mendekati mereka secara konsisten, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Rakyat bukan boneka. Mereka tahu bila pemimpin datang hanya masa pilihan raya. Siapa yang mendekati mereka dengan cara paling rahmah, paling ihsan, paling peduli, mereka akan ingat,” katanya.

Beliau turut menyeru calon dan pimpinan Amanah supaya memulakan kerja dari sekarang kerana kekuatan seseorang calon tidak sepatutnya ditentukan berdasarkan hubungan dengan pimpinan, sebaliknya kemampuan, rekod kerja dan penerimaan rakyat.

Mengulas kedudukan Kerajaan Perpaduan, Aiman mengingatkan penyokong PH bahawa kerajaan di Putrajaya hari ini bukan kerajaan PH secara bersendirian, menyebabkan pelaksanaan manifesto dan reformasi memerlukan rundingan dengan rakan-rakan gabungan. Katanya, keadaan itu menjelaskan mengapa sesetengah reformasi mengambil masa lebih panjang untuk dilaksanakan walaupun PH mempunyai komitmen terhadap agenda berkenaan.

Aiman turut menyifatkan kestabilan Kerajaan Perpaduan sehingga kini sebagai hasil kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas negara sebelum ini melalui beberapa kerajaan yang tidak mempunyai kedudukan politik kukuh.

Beliau berkata kekalahan dalam PRN Negeri Sembilan tidak seharusnya melemahkan semangat anggota Amanah, sebaliknya perlu dijadikan medan muhasabah terhadap kekuatan organisasi, keberkesanan penyampaian mesej dan sejauh mana kehadiran parti benar-benar dirasai rakyat.

“Perjuangan kita bukan diukur ketika kita menang. Kekuatan kita diukur pada bagaimana kita terus berdiri, belajar dan memperbaiki diri ketika diuji,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama antara Amanah, PKR dan DAP perlu terus diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan sasaran memperoleh sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen bagi memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.