PRN Melaka: PKR nak kumpul semua “senjata”, Otai dipanggil balik?
Pakatan Harapan (PH) dilihat sedang menyusun semula kekuatannya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan usaha merangkul semula pemimpin lama dan seluruh kekuatan gabungan menjadi antara strategi yang bakal digunakan.
Pendekatan itu turut membuka ruang kepada persoalan sama ada PH akan memperkukuh kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), selepas kedua-dua gabungan itu pernah bekerjasama dalam enam PRN pada 2023.
Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menekankan keperluan mengembalikan tokoh veteran selain menghimpunkan seluruh kekuatan gabungan itu.
Menurutnya, perkara berkenaan antara mesej yang disampaikan Anwar ketika Kongres PKR di Melaka baru-baru ini.
“Pengerusi Pakatan Harapan (Anwar) sebut waktu Kongres PKR di Melaka Ahad minggu lalu, beliau memaklumkan, kita perlu berusaha untuk bukan hanya mengambil semula ‘otai-otai’, orang-orang lama seperti Tian Chua, Dr Xavier (Jayakumar) dan ramai lagi, tapi juga kita perlu merangkul seluruh kekuatan.
“Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Dalam perkembangan sama, Anwar dilaporkan sudah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad, namun Fahmi tidak dapat mengesahkan sama ada rundingan kerjasama PH-BN bagi menghadapi PRN Melaka turut dibincangkan.
“Saya difahamkan mereka ada pertemuan semalam (Ahad), tapi tidak dimaklumkan apa perbincangan.
“Memang ada (pertemuan) untuk pimpinan dalam masa sehari dua ini, banyak perjumpaan dan mesyuarat, memang ada. Tapi sama ada itu salah satu topik, tidak dimaklumkan,” katanya.
Anwar sebelum ini berkata Jawatankuasa Pilihan Raya PH yang diketuai Amirudin bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Saifuddin sebelum ini turut tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bagi membincangkan kerjasama menjelang pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, BN masih belum membuat keputusan muktamad mengenai bentuk kerjasama yang akan diambil.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN sedang menjalankan kajian terperinci berhubung kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik bagi menghadapi PRN Melaka.
Menurutnya, keputusan itu akan diputuskan Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf, sebelum dimuktamadkan kepimpinan Umno dan BN di peringkat pusat.
Ab Rauf pula sebelum ini berkata BN Melaka terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk PKR dan Pas, namun kedudukan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021 akan menjadi asas dalam rundingan.
Pada PRN Melaka 2021, BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Sementara itu, Pas sebelum ini memaklumkan rundingan pembahagian kerusi antara PN dan BN bagi menghadapi PRN Melaka sedang berlangsung.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut memberi gambaran bahawa PN mempunyai pelan alternatif sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan PH.
Perkembangan itu menjadikan persiapan PRN Melaka semakin menarik apabila PH bukan sahaja perlu memikirkan soal kerjasama dengan BN, malah pada masa sama mahu memastikan seluruh kekuatan dalaman gabungan itu kembali berada dalam satu pasukan.
Dengan Anwar menyeru supaya “otai-otai” dan seluruh kekuatan PH dirangkul, persoalannya kini bukan sekadar siapa akan bekerjasama dengan siapa, tetapi sejauh mana PKR dan PH mampu mengumpulkan semula semua kekuatan sebelum gelanggang Melaka dibuka.
Kalau semua otai dipanggil balik dan semua kekuatan dirangkul, nampaknya PH memang sedang kumpul “senjata” untuk PRN Melaka.
BACA JUGA Selepas TH, kini RM119 juta sangkut di Al-Rawda : Generasi ke- 2 FELDA persoal duit KPF ke mana?