RM21.1 juta, wang AS dan jongkong emas Aman Palestin tak jadi dilucut

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM21.1 juta, AS$139,650.68 serta jongkong emas seberat satu kilogram milik Aman Palestin Berhad.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dalam 12 akaun bank Aman Palestin serta pembelian jongkong emas berkenaan mempunyai kaitan dengan perlakuan salah.

Perlakuan salah yang dimaksudkan adalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurut Latifah, Pendakwa Raya gagal memenuhi beban pembuktian berdasarkan imbangan kebarangkalian bagi kesemua permohonan lucut hak berkenaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata Aman Palestin merupakan sebuah syarikat tidak berteraskan keuntungan yang ditubuhkan bagi menyelaras pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Dana pertubuhan itu pula diperoleh sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai termasuk transaksi dalam talian, potongan bulanan daripada akaun serta tabung derma tunai di cawangan seluruh negara.

Mengutip derma

Mahkamah dimaklumkan, dari 2018 hingga 2023 sahaja Aman Palestin mengutip derma berjumlah kira-kira RM123.9 juta.

Menurut hakim, sumbangan itu diberikan secara sukarela dan selepas diterima, wang berkenaan menjadi milik Aman Palestin yang mempunyai kawalan terhadap penggunaannya.

Bagaimanapun, semua akaun terbabit dibekukan pihak berkuasa pada November dan Disember 2023 sebelum permohonan lucut hak difailkan pada 15 November 2024.

Pendakwaan sebelum ini mendakwa sebahagian dana berkenaan telah diseleweng daripada tujuan asal selepas siasatan mendapati lebih RM64 juta dipindahkan bagi tujuan pelaburan, pembelian hartanah dan emas.

Antara syarikat serta organisasi yang menerima pemindahan dana itu ialah Samudra Champa Sdn Bhd, Kerengga Merah Sdn Bhd, Isra Travel Sdn Bhd dan Yayasan Persahabatan Al-Insaniah Sejagat.

Namun, mahkamah berpandangan sekiranya benar berlaku penyelewengan ketika wang itu dikeluarkan bagi tujuan pelaburan, tanggungjawab berkenaan sepatutnya dikenakan terhadap individu atau pengarah yang terlibat.

“Jika benar terdapat penyelewengan dilakukan oleh pengarah syarikat ketika wang itu dikeluarkan untuk pelaburan, liabiliti tanggungan adalah terhadap individu.

“Ia seharusnya diletakkan kepada pengarah terbabit dan tidak membabitkan responden,” kata Latifah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Noor Syazwani Mohamad Sobry, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Pegawai Pendakwa Fatin Farhana Ismail.

Aman Palestin pula diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Zamani Ibrahim.

Selepas keputusan itu, pihak pendakwaan memohon supaya pelaksanaan perintah mahkamah ditangguhkan bagi menghalang sementara pemulangan wang dan harta yang dibekukan serta disita sementara rayuan dikemukakan ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah menetapkan 4 September depan untuk pengurusan kes berhubung permohonan tersebut.

Berasingan

Kes ini berasingan daripada pertuduhan jenayah yang dihadapi tiga individu berkaitan Aman Palestin.

Pada 15 Februari 2024, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut; serta pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali didakwa di Mahkamah Sesyen atas keseluruhan 164 pertuduhan.

Pertuduhan itu membabitkan kesalahan pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM39.5 juta.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah dan memilih untuk dibicarakan.

BACA JUGA Bukan takut dikritik, tapi bila akidah dilanggar, Liyana buat laporan polis terhadap empat individu