Bersatu setuju dua ADUN sokong MB Pahang
Bersatu menyokong tindakan dua ADUN parti itu di Pahang yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dua ADUN berkenaan ialah Jasri Jamaluddin, ADUN Kuala Sentul dan Mohd Yazid Mohd Yunus, ADUN Lepar.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua ADUN terbabit telah menyatakan hasrat mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk berbuat demikian dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
Menurutnya, Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah membincangkan perkara itu dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan tersebut.
“Bersatu mengambil maklum tindakan dua ADUN Negeri Pahang daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy,Menteri Besar Pahang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Tindakan ini dibuat melalui satu pemeteraian perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani oleh Wan Rosdy dan kedua-dua mereka,” katanya.
Bersatu berkata, keputusan pucuk pimpinan menyokong langkah dua ADUNnya adalah untuk menjamin kestabilan politik di negeri Pahang dan memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan DUN berkenaan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri Pahang.
DUN Pahang mempunyai 42 kerusi dengan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk menerusi gabungan BN yang memiliki 17 kerusi iaitu Umno 16 dan MIC satu, manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai lapan kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula menguasai 17 kerusi, dengan Pas 15 kerusi dan Bersatu dua kerusi.