Pempengaruh agama di TikTok didakwa hari ini berkait seleweng dana NGO hampir RM13 juta

Seorang pempengaruh yang banyak menghasilkan kandungan berkaitan agama di TikTok bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, berhubung kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai hampir RM13 juta.

Pendakwah bebas berusia 30-an itu, yang juga pengerusi NGO berkenaan, dijangka didakwa bersama seorang wanita yang merupakan setiausaha pertubuhan tersebut.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9 pagi ini.

“Dia dan seorang wanita akan dituduh esok berhubung satu kes yang dibuka SPRM beberapa bulan lalu,” katanya menurut Berifa Harian.

Sebelum ini, pempengaruh berkenaan telah ditahan SPRM Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana NGO terbabit.

Individu tersebut dipercayai menyalahgunakan kedudukannya serta bersubahat dengan ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank miliknya dan lapan akaun syarikat yang turut dimilikinya.

Siasatan SPRM sebelum ini dijalankan bagi mengenal pasti aliran dana berkenaan serta kemungkinan berlaku salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan NGO terbabit.

BACA JUGA Guru buka cerita pasal kuarters, setelah bertahun-tahun era Fadhlina lah baru dibaiki