Reformasi MADANI bawa Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dunia

Reformasi ekonomi dan kestabilan politik di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI terus memperkukuh keyakinan pelabur apabila Malaysia melonjak lapan anak tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2026.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-15 berbanding tangga ke-23 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Dr Johari Ghani, pada Ekspo Teknologi Automotif Global (GATE) 2026 di MITEC, hari ini.

“Reformasi ekonomi dan kestabilan politik negara telah menghasilkan lonjakan ketara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2026.

“Malaysia kini berada di tangga ke-15 berbanding kedudukan ke-23 tahun lalu, sekali gus menjadikan negara antara ekonomi paling kompetitif, cekap dan mesra pelabur di rantau ini,” katanya.

Sim berkata, keyakinan terhadap ekonomi negara turut diterjemahkan menerusi pencapaian nilai perdagangan dan pelaburan diluluskan yang mencatat paras tertinggi pada 2025.

Prestasi itu didorong kemasukan pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, infrastruktur digital dan teknologi hijau.

“Malaysia menawarkan bukan sahaja lokasi strategik dan infrastruktur bertaraf dunia, tetapi juga ekosistem stabil serta berpandangan jauh yang membolehkan perniagaan global berkembang dengan berkesan,” katanya.

Menurutnya, rangkaian 17 perjanjian perdagangan bebas yang dimiliki Malaysia turut menjadi kelebihan kepada syarikat antarabangsa yang mahu menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi serantau.

Perjanjian berkenaan termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Melalui rangkaian itu, pelabur yang beroperasi di Malaysia berpeluang memperoleh akses pasaran keutamaan dan bebas cukai melibatkan lebih tiga bilion pengguna di seluruh dunia.

Pencapaian tersebut memperlihatkan dasar pembaharuan yang digerakkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula memberikan kesan nyata terhadap daya saing serta tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Ia juga membuktikan kestabilan politik, dasar yang konsisten dan pembinaan ekosistem pelaburan berkualiti menjadi asas penting untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang dalam menghadapi ketidaktentuan global.

BACA JUGA Umno jangan berdalih, akuilah ada ‘sakau’ & hakikat salah tadbir Tabung Haji