Tuntutan tubuh RCI baharu buka semula hantaran 2022 Pas bagi watikah pelantikan anggota RCI TH
Gesaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat Tabung Haji (TH) mencetuskan persoalan mengenai konsistensi pendirian Pas.
Pada 2022, ketika berada dalam kerajaan Perikatan Nasional, Pas antara parti yang menyambut penubuhan RCI TH dengan penuh keyakinan.
Menteri Agama ketika itu, Datuk Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas, secara rasmi menyerahkan watikah pelantikan kepada enam anggota RCI.
Menerusi kenyataan pada Januari 2022, Pas menyatakan “menjunjung setinggi-tinggi kasih” kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penubuhan RCI berkenaan.
Pas turut meluahkan “keyakinan penuh” bahawa RCI dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Namun pada semalam, Takiyuddin pula menggesa RCI baharu diwujudkan bagi meneliti pengurusan TH bermula 2018 sehingga kini. Alasannya kerana wujud percanggahan dalam beberapa dapatan RCI terdahulu.
Persoalannya, RCI yang kini dipohon untuk disiasat semula itu lahir daripada keputusan kerajaan yang Pas sendiri adalah sebahagiannya. Malah, proses pelantikan ahli RCI turut dilaksanakan oleh pemimpin Pas.
Situasi itu meletakkan Pas dalam posisi perlu menjelaskan pendirian mereka sendiri.
Sekiranya RCI 2022 dianggap mencukupi dan telus seperti yang ditekankan dahulu, maka tiada keperluan untuk siasatan baharu.
Sekiranya sebaliknya, maka timbul pula persoalan mengapa keyakinan itu disuarakan ketika berada di dalam kerajaan.
Selagi persoalan tersebut tidak terjawab, gesaan untuk RCI baharu akan terus dilihat bukan sekadar tuntutan siasatan, tetapi percubaan untuk mengubah naratif selepas keputusan RCI tidak lagi memihak kepada pihak tertentu.
BACA JUGA Tak jumpa ‘sakau’ dalam RCI, Tabung Haji rosot nilai RM12.6 bilion akibat tangan siapa?