Agong, Raja Permaisuri titip doa buat rakyat Malaysia terlibat banjir besar di Nepal

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa prihatin serta mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian banjir besar di Rasuwa, Nepal.

Seri Paduka Baginda berdua menitipkan doa berharap semua mangsa berada dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi situasi berkenaan.

Sultan Ibrahim turut mendoakan agar segala usaha menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia yang terjejas dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Saya mengikuti perkembangan tragedi ini sejak ia dilaporkan berlaku semalam apabila melibatkan rakyat Malaysia.

“Saya juga menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan yang sewajarnya termasuk dalam menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga masing-masing mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.

Kementerian Luar Negara dalam satu kenyataan hari ini melaporkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa.

Menurut Wisma Putra, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.