Kecoh pula bintang tak cukup bucu, Mydin hentikan serta-merta jualan tudung Jalur Gemilang
Issue reka bentuk Jalur Gemilang pada produk tudung yang dijual pasar raya Mydin sempena bulan kemerdekaan mencetuskan perbincangan hangat.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas gambar produk tudung yang memaparkan elemen Jalur Gemilang dikongsikan di media sosial, dengan antara perkara yang dibangkitkan ialah reka bentuk bintang yang didakwa tidak mempunyai bilangan bucu yang sepatutnya.
Pengguna yang membangkitkan perkara itu menegaskan bahawa isu berkenaan wajar diberi perhatian kerana melibatkan penggunaan lambang negara, lebih-lebih lagi ketika sambutan Bulan Kebangsaan.
“Ini bukan sekadar silap rekaan. Bila Jalur Gemilang terbalik, satu negara marah. Tapi produk yang dijual secara terbuka pula guna bintang yang tak cukup 14 bucu?
“Kalau design guna AI sekalipun, mana due diligence sebelum mass produce? Ini lambang negara. MYDIN kena ambil tanggungjawab, beri penjelasan dan tarik balik produk yang terlibat,” katanya.
Susulan perkara itu, MYDIN memaklumkan pihaknya telah mengarahkan semua cawangan untuk menghentikan serta-merta jualan produk terbabit.
Dalam respons di Threads, MYDIN berkata pihaknya mengambil serius perkara berkenaan selepas menerima maklum balas mengenai produk yang menggunakan elemen Jalur Gemilang itu.
“Pihak kami mengambil serius perkara ini dan telah mengarahkan semua cawangan untuk menghentikan jualan produk berkenaan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Menurut MYDIN, semakan yang dibuat mendapati isu berkenaan melibatkan kesilapan cetakan oleh pihak pembekal.
“Pihak kami sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.
MYDIN turut memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta menghargai maklum balas yang diberikan.
Tindakan MYDIN menghentikan jualan itu kemudian mendapat perhatian pengguna media sosial, dengan sebahagian mereka turut mengingatkan pengeluar supaya lebih teliti dalam menghasilkan produk yang menggunakan elemen identiti negara.