Kenapa Sanusi nak hamun PMX sedangkan akta judi sudah lebih 60 tahun? Ismail Salleh persoal
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak sepatutnya melemparkan kecaman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu lesen perjudian kerana perkara itu tertakluk kepada undang-undang Persekutuan yang sudah wujud sejak lebih 60 tahun lalu.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, isu berkenaan bukan soal menghalalkan judi kerana semua pihak memahami bahawa perjudian adalah haram bagi umat Islam.
Sebaliknya, kata beliau, persoalan utama ialah bidang kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Bidang kuasa negeri di bawah PBT, Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu lesen premis, manakala bidang kuasa Persekutuan ialah lesen judi di bawah Kementerian Kewangan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1967.
“Maknanya kedua-dua akta di bawah bidang kuasa Persekutuan itu telah berusia 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata, keputusan mahkamah dalam isu di Kedah juga dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada yang mengikat semua pihak.
Sehubungan itu, Ismail mempersoalkan tindakan Sanusi yang didakwa menghamburkan kecaman terhadap Perdana Menteri, sedangkan undang-undang berkaitan perjudian itu telah lama berkuat kuasa.
“Dalam isu di negeri Kedah, itulah yang diputuskan oleh mahkamah yang terikat dengan akta.
“Mengapa tiba-tiba MB Kedah maki hamun Perdana Menteri, sedangkan akta itu telah wujud sejak 60 tahun yang lalu?” soalnya.
Menurut Ismail, jika benar terdapat keperluan untuk mengubah kedudukan undang-undang berkaitan perjudian, langkah itu perlu dibuat melalui proses yang jelas dan bukan sekadar memainkan sentimen rakyat.
Katanya, perkara itu sepatutnya bermula dengan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi menentukan kedudukan perjudian terhadap golongan bukan Islam sebelum sebarang pindaan akta dipertimbangkan.
“Ketika judi itu haram di sisi Islam, bagaimana kedudukan judi kepada bukan Muslim? Ini yang perlu diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan selepas itu barulah pindaan akta perlu dibuat sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat judi juga haram kepada orang bukan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail turut mengaitkan isu berkenaan dengan rekod Pas dalam melaksanakan agenda yang sering dilaungkan parti itu ketika berada dalam kerajaan.
Pas mempunyai sejarah menjadikan isu tertentu sebagai bahan retorik politik, namun pelaksanaannya ketika mempunyai kuasa tidak semestinya seiring dengan tuntutan yang dibuat.
“Sejarah juga telah membuktikan bahawa Pas banyak beretorik daripada pelaksanaan.
“Sedikit masa dahulu ketika mereka berkuasa, perkara yang menjadi jantung, nadi dan nyawa mereka iaitu RUU 355 dan Akta Petrolium, mereka langsung tidak berusaha ke arah membuat pindaan,” katanya.
Ismail berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kecaman Sanusi terhadap Perdana Menteri dalam isu perjudian benar-benar bertujuan menyelesaikan masalah atau sekadar meraih sokongan politik.
“Lalu dalam kes judi di Kedah ini, MB hanya bermain dengan sentimen rakyat untuk meraih sokongan, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Ismail menegaskan, perbahasan mengenai perjudian perlu dikembalikan kepada persoalan undang-undang, bidang kuasa dan mekanisme untuk melakukan perubahan, bukannya semata-mata serangan politik terhadap Perdana Menteri.