Kritik PM pun tak boleh jadi tiket tindakan disiplin, Anwar beri amaran
Kebebasan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberikan sepenuhnya termasuk hak untuk mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, kebebasan itu penting bagi mengembalikan universiti sebagai medan pemikiran kritis, perbahasan intelektual dan percambahan idea baharu dalam kalangan generasi muda.
Anwar berkata pihak pengurusan universiti dan kementerian berkaitan perlu menerima hakikat bahawa mahasiswa tidak seharusnya dikekang hanya kerana pandangan atau kritikan yang dilontarkan mereka.
“Menerima kenyataan bahawa ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang menghalang kegiatan mereka. Sama ada kita setuju atau tidak, itu soal lain.
“Kita boleh berbahas dan menuntut anak-anak mahasiswa mempertahankan hujah mereka. Tapi mesti menjadikan belia universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 bertemakan Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), malam tadi.
Ketenteraman awam
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengarahkan supaya tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan semata-mata kerana menyuarakan kritikan atau pandangan akademik ditarik balik serta-merta.
Katanya, pendirian kerajaan jelas bahawa mahasiswa dan ahli akademik perlu diberikan ruang untuk menyatakan pandangan, termasuk kritikan terhadap pemimpin kerajaan.
“Kalau ada mahasiswa yang diberikan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk kritikan kepada Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka hendaklah dilepaskan sepenuhnya.
“Kalau kes polis, ya… itu isu lain,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan kebebasan bersuara tidak bermaksud mahasiswa diberikan lesen untuk melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam.
Menurutnya, mahasiswa bebas menyatakan pendirian, mengemukakan pandangan dan menghantar memorandum, tetapi tindakan seperti merosakkan harta awam tetap tidak boleh diterima.
“Jangan salah faham, bila kita kata kebebasan itu, nak suara, nak beri pandangan atau hantar memo, itu dialu-alukan.
“Anda boleh suarakan pendirian anda, tetapi anda tidak boleh mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta awam,” katanya.
Menambah kuasa
Sementara itu, mengulas wacana berhubung penambahbaikan AUKU 1971, Anwar berkata sebarang pindaan terhadap undang-undang berkenaan tidak harus dijadikan alasan untuk menambah kuasa kerajaan atau menteri.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan bersedia mengurangkan pemusatan kuasa kementerian supaya universiti mempunyai lebih banyak ruang untuk menentukan hal ehwal pentadbiran dan akademik mereka sendiri.
“Sebarang pindaan ini tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa menteri. Yang sedikit akan mengurangkan kuasa kerajaan itu sendiri, kuasa menteri atau kementerian untuk memberikan sedikit kelonggaran kebebasan kepada universiti,” katanya.
Forum berkenaan turut menampilkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia Tengku Datuk Mohd Azzman Shariffadeen sebagai panel.
Pendirian itu sekali gus memberi isyarat bahawa agenda reformasi pendidikan tinggi di bawah kerajaan MADANI bukan sekadar berkisar soal kurikulum dan kebolehpasaran graduan, tetapi turut melibatkan usaha memperluas ruang kebebasan intelektual di kampus.
BACA JUGA Tak padam, tak gentar: Ezzat terima LOD Asyraf Wajdi, pilih jumpa di mahkamah