MOF ‘tembak balik’ Sanusi: Kerajaan MADANI tak tambah satu pun lesen judi
Dakwaan bahawa Kerajaan MADANI melonggarkan kawalan terhadap aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu di Kedah ditepis Kementerian Kewangan (MOF), yang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai mengelirukan.
Dalam kenyataan hari ini, MOF berkata penjelasan itu perlu dibuat bagi menjawab gambaran yang didakwa timbul daripada kenyataan Sanusi berhubung isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Menurut kementerian itu, Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan premis perjudian di Kedah.
Sebaliknya, jumlah lesen dan permit perjudian yang masih berkuat kuasa adalah berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an, kata MOF.
“Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu.
“Jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an,” menurut kenyataan itu.
MOF turut menjelaskan bahawa tidak pernah ada keputusan Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh pentadbiran 2020 hingga 2022, yang turut melibatkan Pas, untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Isu kekerapan cabutan khas turut disentuh kementerian itu, dengan MOF berkata jumlah cabutan khas pernah diturunkan daripada 22 kepada lapan kali setahun sebelum ditingkatkan semula kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
Bagaimanapun, selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal kerajaan ketika itu adalah membatalkan peningkatan berkenaan dan mengembalikan kekerapan cabutan khas kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.
Penjelasan tersebut dilihat menjadi jawapan langsung terhadap polemik yang tercetus selepas Sanusi mengaitkan kerajaan Persekutuan dengan isu aktiviti perjudian dan lesen premis perjudian di Kedah.
Dalam pada itu, MOF berkata kerajaan terus mengenakan syarat ketat terhadap pemegang lesen sebagai sebahagian daripada langkah mengawal aktiviti perjudian berlesen.
Kementerian itu turut menegaskan pendekatan Kerajaan MADANI adalah untuk mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memperketat kawal selia serta memperhebat tindakan terhadap aktiviti perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.
Penjelasan MOF itu sekali gus meletakkan kembali fokus kepada persoalan utama dalam polemik tersebut sama ada wujud lesen perjudian baharu yang diluluskan kerajaan Persekutuan atau sekadar penguatkuasaan terhadap lesen sedia ada.
Dengan MOF menegaskan tiada lesen baharu dikeluarkan dan jumlah premis tidak ditambah, dakwaan bahawa Kerajaan MADANI sedang melonggarkan dasar perjudian kini berdepan penjelasan rasmi daripada kementerian berkenaan.
BACA JUGA Isu lesen judi: PKR Kedah dakwa Sanusi cuba ‘campak’ kegagalan kepada PMX