Tercipta sejarah hari ini, tiga bekas PM ‘reunion’ di mahkamah
Tiga bekas Perdana Menteri dijadual hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini, masing-masing berdepan prosiding undang-undang berbeza.
Datuk Seri Najib Razak akan kembali ke Mahkamah Tinggi bagi meneruskan saman sivil berbilion ringgit yang difailkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadapnya dan beberapa defendan lain.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus diteruskan dengan keterangan berkaitan transaksi dan keputusan yang menjadi inti pati kontroversi 1MDB.
1MDB menuntut ganti rugi berbilion ringgit daripada Najib yang digelar Bossku itu dan defendan lain berhubung kerugian yang didakwa dialami dana kekayaan negara berkenaan.
Untuk rekod, Najib kini sudah empat tahun menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas sabitan kes SRC International membabitkan RM42 juta.
Hukuman asalnya 12 tahun penjara tetapi kemudian dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.
Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin akan meneruskan perbicaraan terhadapnya berhubung tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.
Pemimpin yang disapa Abah itu juga didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.
Beberapa saksi dipanggil memberi keterangan berhubung projek, pembayaran dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan program berkenaan.
Dalam prosiding terbaharu semalam, Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff memberitahu mahkamah bahawa beliau menyumbang RM4.8 juta kepada Bersatu selepas syarikatnya dianugerahkan projek bernilai RM62 juta di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Azman turut mendakwa Mahiaddin pernah memaklumkan kepadanya bahawa kontraktor yang mahu membuat sumbangan boleh menyalurkannya terus kepada Bersatu dan bukannya kepada mana-mana individu dalam parti itu.
Kes membabitkan Mahiddin yang juga bekas Timbalan Presiden Umno sebelum dipecat pada 2016 itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.
Pak Long Mail
Di Mahkamah Sesyen pula, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pertuduhan terhadap pemimpin Umno yang mesra dipanggil Pak Long Mail itu berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki agensi antirasuah.
Kehadiran Ismail Sabri di mahkamah hari ini menyusul penangguhan tarikh pertuduhan sebelum ini selepas beliau mengalami masalah kesihatan.
Ayah kepada penyanyi Dafi berkenaan sebelum ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan kemudiannya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.
Sebelum ini, siasatan SPRM terhadap Ahli Parlimen Bera berkenaan mendapat perhatian selepas agensi itu mendedahkan penyitaan kira-kira RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang.
Turut disita 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan membabitkan beberapa bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
BACA JUGA Banjir dahsyat Nepal: 17 rakyat Malaysia dilapor hilang, ratusan lagi gagal dihubungi