Timbalan Presiden MIC Saravanan sah akan didakwa di mahkamah esok

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah, mengesahkan beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen, esok.

Ahli Parlimen Tapah itu mendakwa pertuduhan yang bakal dihadapinya berpunca daripada kenyataan pihak ketiga yang mengaitkannya dengan isu pengambilan pekerja asing ketika pandemik Covid-19 pada 2022.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC mendakwa kenyataan awal yang mengaitkan namanya dibuat oleh seorang individu yang meninggal dunia dua bulan lalu, sebelum individu terbabit kemudian membuat Akuan Bersumpah (SD) untuk menarik balik dakwaan berkenaan.

“Saya tegaskan bahawa saya tidak pernah menghubungi atau mengenali individu itu sama ada melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas. Walaupun saksi utama sudah meninggal dunia, saya tetap bersedia untuk mempertahankan diri dan menghadapi pertuduhan ini mengikut undang-undang,” katanya dalam video yang dikongsikan kepada media hari ini.

Saravanan berkata, pasukan peguamnya esok akan memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan kes itu dipercepatkan tanpa sebarang penangguhan.

Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan jemputan kepada media berhubung pendakwaan terhadap seorang bekas menteri di Mahkamah Sesyen di sini, esok.

Bekas menteri berkenaan dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan perbuatan meminta, menerima, memberi, menjanjikan atau menawarkan suapan.