Tindakan tegas kerajaan dah mula, 5,000 warga Myanmar akhirnya dihantar pulang bermula 29 Sept ini
Selepas puluhan tahun isu kehadiran pelarian terus menjadi persoalan yang belum berkesudahan, Kerajaan MADANI kini mula mengorak langkah untuk menoktahkan masalah legasi itu apabila 1,476 warga Myanmar akhirnya akan dihantar pulang ke negara asal pada 29 September ini.
Penghantaran berkenaan merupakan fasa pertama daripada program membabitkan 5,000 warga Myanmar yang akan dihantar pulang secara berperingkat.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penghantaran pulang itu akan dilaksanakan secara sukarela dan selamat, dengan prosedur berkenaan dipersetujui bersama Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.
Bagi penghantaran fasa pertama itu, proses membawa pulang warga Myanmar akan menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
KDN berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani isu pelarian yang telah berlarutan selama puluhan tahun.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan penghantaran pulang secara berperingkat telah mengambil kira kerjasama dan persetujuan Kerajaan Myanmar dalam memastikan proses tersebut dapat dilaksanakan secara teratur.
KDN menjelaskan bahawa daripada jumlah warga Myanmar yang berada di dalam tahanan imigresen, tidak semuanya boleh dianggap sebagai pelarian kerana setiap individu perlu melalui proses pengesahan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan.
Kerajaan pada masa sama meneruskan pendekatan lain bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh, termasuk proses pendaftaran dan pendataan individu yang berada di negara ini.
Langkah penghantaran pulang itu menjadi antara tindakan terkini kerajaan dalam usaha menangani isu pelarian Myanmar yang berlarutan sejak sekian lama, dengan proses seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan baki individu yang dikenal pasti layak.