Ada orang jemput ke, ada pelawaan, saya tak dimaklum, kata Anwar jawab isu Azmin
Dakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipelawa kembali menyertai PKR menimbulkan persoalan apabila Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Ada orang jemput ke? Ada pelawaan? Saya tidak dimaklumkan,” kata Anwar ketika ditanya media selepas merasmikan Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan 2026.
Jawapan ringkas itu menyebabkan timbul persoalan baharu—siapakah sebenarnya yang dikatakan menawarkan pelawaan kepada bekas Timbalan Presiden PKR itu?
Beberapa hari sebelumnya, Azmin menegaskan beliau tidak akan sesekali kembali menyertai PKR meskipun dikatakan terdapat pelawaan kepada bekas pemimpin parti itu.
Azmin yang kini Setiausaha Agung Bersatu berkata, parti berkenaan kekal menjadi wadah perjuangannya untuk meneruskan kelangsungan politik.
Kontroversi itu tercetus selepas Anwar dalam Kongres Tahunan PKR menyeru bekas pemimpin dan aktivis parti tersebut supaya kembali ke landasan perjuangan asal.
Bagaimanapun, Anwar tidak menamakan Azmin secara khusus dalam seruan tersebut. Tiada juga pengesahan rasmi bahawa pucuk pimpinan PKR pernah menghubungi atau menawarkan keahlian kepadanya.
Setakat ini, bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman dilaporkan antara yang dijangka kembali menyertai PKR.
Bekas Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar pula sudah mengesahkan kepulangannya, menunjukkan pintu parti itu memang dibuka kepada beberapa bekas pemimpin tertentu.
Namun, keterbukaan itu tidak semestinya bermakna semua bekas pemimpin—termasuk Azmin—menerima pelawaan yang sama.
Dari sudut politik, penolakan awal Azmin memberikan gambaran seolah-olah beliau termasuk dalam kalangan pemimpin yang dipelawa. Tetapi jawapan Anwar kini menimbulkan keraguan sama ada pelawaan itu benar-benar pernah dibuat.
Jadi, Azmin sebenarnya menolak pelawaan PKR atau sekadar menutup pintu yang belum pernah dibuka untuknya?
BACA JUGA PMX teruskan siri muzakarah, pastikan dasar kerajaan dipandu ilmu dan nasihat ulamak