“Lulus ya cikgu” Fadhlina lulus segera permohonan Cikgu dari Bera untuk bantu laluan muridnya
“Lulus, ya cikgu.”
Itu jawapan ringkas tetapi cukup melegakan daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, selepas menerima rayuan seorang guru mengenai laluan daif yang digunakan muridnya untuk ke sekolah.
Fadhlina mengumumkan kelulusan RM150,000 bagi menyediakan laluan menggunakan modul Jetfloat untuk murid Sekolah Kebangsaan Iskandar di Bera, Pahang.
Kisah itu bermula apabila seorang guru menggunakan media sosial untuk menunjukkan keadaan laluan yang ditempuh anak muridnya setiap pagi.
Permintaan guru berkenaan sebenarnya cukup sederhana. Beliau hanya bertanya sama ada Fadhlina boleh membantu menyediakan kayu untuk memperbaiki titian yang dibina oleh guru-guru.
Menurut guru tersebut, pihak sekolah sebelum ini sudah menerima bantuan bot dan enjin bagi membawa murid yang tinggal di seberang tasik.
Namun, apabila paras air tasik surut, bot tidak dapat menghampiri tebing. Murid masih memerlukan titian untuk meneruskan perjalanan ke sekolah.
Guru-guru pernah membina laluan sementara, tetapi keadaannya daif dan kurang selesa untuk digunakan oleh murid setiap hari.
Selepas menerima aduan itu, Fadhlina membuat semakan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Hasil semakan mendapati laluan berkenaan memerlukan kos RM150,000 bagi penggunaan modul Jetfloat.
Fadhlina kemudian memberikan kelulusan serta meminta JPN Pahang mengambil tindakan selanjutnya. Daripada permintaan kecil seorang guru di media sosial, akhirnya lahir penyelesaian lebih menyeluruh demi keselamatan dan keselesaan murid.
Tindakan pantas itu menunjukkan aduan rakyat tidak seharusnya sekadar dijawab dengan komen atau janji. Apabila masalah murid dibawa terus kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan, jawapan terbaik ialah tindakan.
BACA JUGA PMX teruskan siri muzakarah, pastikan dasar kerajaan dipandu ilmu dan nasihat ulamak