Heboh bendera terbalik di Wisma MCA, ramai ‘cari’ Akmal Saleh

Hantaran mengenai dakwaan Jalur Gemilang dan bendera Perak dipasang terbalik di Wisma MCA Perak mengundang sindiran warganet apabila ramai ‘mencari’ Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Perkara itu dibangkitkan menerusi hantaran Facebook Jason Yew yang memuat naik gambar bangunan berkenaan.

“Alamak. MCA buat hal lagi!!!

“Bendera Malaysia dan Perak didapati telah dipasang terbalik di wisma MCA Perak,” menurut hantaran berkenaan.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menyebut nama Akmal yang juga ADUN Merlimau merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

“Mana Akmal Saleh,” tulis Bernard Pok secara ringkas, manakala Oon Kok Hiung berseloroh, “Akmal Saleh mana awak?? Hilang diri lagi ke 😂.”

Sementara itu, Yong Steven berkata, “Akmal Saleh mai, pergi. Your good bro MCA,” sehingga menerima puluhan reaksi daripada pengguna Facebook.

Komen berkenaan kemudian dibalas pengguna lain dengan sindiran lebih tajam.

“Kalau DAP, dia baru berminat,” kata Otawan yang kemudian dibalas, “Betul, siap angkat geng lagi,” ujar Ahmad Atiq.

Untuk rekod, Akmal sebelum ini dikenali lantang dan secara terbuka mendesak tindakan tegas terhadap pihak yang dianggap tidak menghormati bendera negara.

Pada Ogos tahun lalu, dalam kes bendera terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Akmal menuntut tindakan tegas dan mengatakan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi.

Dalam satu lagi kes di Pulau Pinang, pemimpin Umno itu mengecam tindakan seorang individu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan mempersoalkan pihak yang mahu mempertahankan perbuatan tersebut.

Malah, Akmal secara terbuka tahun lepas meminta menteri atau DAP turun membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah premis perniagaan di ibu kota.

BACA JUGA SPRM dapat ‘lampu hijau’, bekas menteri diheret ke mahkamah esok