Judi Kedah: Sanusi jangan alih tiang gol, Malaysia patuhi pemisahan kuasa antara kerajaan dan mahkamah
PKR Kedah menyelar tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang cuba mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan isu lesen premis perjudian di negeri itu.
Pengarah Komunikasi PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, isu tersebut berpunca daripada keputusan pentadbiran kerajaan negeri sendiri yang kemudiannya dicabar oleh pengendali premis di mahkamah.
Menurutnya, mahkamah memutuskan tindakan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis berkenaan telah melangkaui bidang kuasanya.
Permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu juga ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Justeru, katanya, Sanusi tidak sepatutnya mengalihkan kesalahan kepada Anwar kerana Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa menentukan keputusan badan kehakiman.
“Sanusi usah alih tiang gol. Sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” tegasnya.
Beliau berkata, Malaysia mengamalkan prinsip pemisahan kuasa antara kerajaan, badan perundangan dan kehakiman. Keputusan mahkamah tidak boleh digambarkan sebagai arahan politik daripada Anwar.
PKR Kedah turut mempersoalkan rekod PAS dalam isu perjudian apabila jumlah cabutan khas dikatakan meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun ketika parti itu berada dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Sebaliknya, jumlah cabutan khas itu dikurangkan semula kepada lapan kali setahun di bawah pentadbiran Kerajaan Madani. Kementerian Kewangan turut menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen judi baharu atau menambah bilangan premis perjudian.
Isunya kini bukan siapa paling lantang menyebut soal judi. Persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa strategi pentadbiran Kedah gagal dipertahankan di mahkamah—dan mengapa Anwar pula mahu dijadikan kambing hitam?
BACA JUGA Selepas rayuan kepada PMX, jentera pemadam api beraksi di Indonesia membanggakan