Prestasi sahaja tak cukup, PH disaran lawan naratif ‘Melayu bersih VS Melayu sakau’ menuju PRU16
Pakatan Harapan (PH) perlu lebih berani menukar rentak perang politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selepas pengalaman pilihan raya negeri menunjukkan prestasi pentadbiran semata-mata belum tentu mampu menewaskan permainan sentimen.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam program “Pesan Parti: Post Mortem PRN Johor & N9 Untuk Hadapi PRU16” anjuran AMANAH Bandar Tun Razak di Restoran Kapitan, Bandar Sri Permaisuri, di sini.
Program itu turut dihadiri Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Hayatul Kamil Termudi.
Dalam perbincangan tersebut, antara kebimbangan utama dibangkitkan ialah kejayaan dan prestasi kerajaan boleh tenggelam apabila pihak lawan berjaya menguasai sentimen pengundi menerusi naratif perkauman dan ketakutan terhadap DAP.
Malah, kajian Ilham Center yang disebut dalam program berkenaan dikatakan menunjukkan tahap kepuasan tinggi terhadap pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan, namun sentimen politik akhirnya dilihat lebih kuat mempengaruhi keputusan sebahagian pengundi.
Justeru, timbul cadangan supaya PH tidak lagi sekadar bertahan apabila berdepan serangan politik identiti, sebaliknya membawa naratif “pertembungan budaya politik Melayu”.
Antara mesej yang dicadangkan ialah mempertembungkan imej “Melayu bersih dan berprestasi” dengan politik Melayu yang dikaitkan dengan rasuah atau ‘sakau’, sekali gus mengalih perdebatan daripada Melayu lawan Cina kepada soal siapa sebenarnya mampu mentadbir dengan amanah.
Pada masa sama, pimpinan dan jentera parti turut diingatkan supaya tidak terperangkap menggunakan sumber kerajaan untuk kepentingan politik kerana ia bercanggah dengan prinsip tadbir urus bersih yang selama ini diperjuangkan PH.
Kekangan dana turut menjadi perhatian apabila PH dikatakan berdepan kemampuan kewangan yang lebih kecil berbanding pesaing, sekali gus memerlukan ahli dan penyokong bekerja lebih kuat serta mencari sumber pembiayaan alternatif yang telus.
Mesej akhirnya cukup jelas – menuju PRU16, PH bukan sahaja perlu ada rekod kerja, tetapi mesti tahu bagaimana mahu memastikan rakyat mendengar cerita sebenar sebelum naratif lawan terlebih dahulu menguasai gelanggang.