Bekas juruaudit cabar penjelasan Madinah mengenai audit Tabung Haji

Seorang bekas juruaudit tampil mencabar penjelasan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, berhubung keputusan memberikan pendapat audit bersih terhadap penyata kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun 2017.

Menerusi surat kepada pengarang yang disiarkan The Edge Malaysia, penulis tanpa nama itu mendakwa beberapa hujah Madinah dalam mempertahankan audit berkenaan tidak tepat.

Antara yang dipersoalkan ialah tindakan memberikan pendapat audit bersih walaupun perenggan “Emphasis of Matter” menyatakan kerugian susut nilai RM227.81 juta melibatkan enam syarikat tidak direkodkan.

Menurut bekas juruaudit itu, jumlah tersebut melebihi paras materialiti audit dan sepatutnya diselaraskan dalam penyata kewangan TH.

Beliau turut menolak alasan bahawa pendapat audit berkelayakan boleh mencetuskan kebimbangan terhadap kedudukan TH atau menggugat kerajaan ketika itu.

Katanya, tugas juruaudit adalah menentukan sama ada penyata kewangan memberikan gambaran yang benar dan saksama, bukannya menjaga kestabilan politik sesebuah kerajaan.

Surat tersebut turut mendakwa TH tidak menggunakan ujian susut nilai pelaburan saham dengan betul sehingga kerugian besar tidak dimasukkan dalam akaun untung rugi.

Rugi bukan untung

PwC dilaporkan menganggarkan kira-kira RM4.3 bilion kerugian susut nilai saham sepatutnya diiktiraf.

Jika kerugian itu direkodkan, TH didakwa tidak dapat mengisytiharkan hibah berjumlah RM3.3 bilion.

Bekas juruaudit berkenaan juga mendakwa TH sepatutnya mencatatkan kerugian sekitar RM1.4 bilion bagi 2017, bukannya keuntungan kira-kira RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan.

Beliau turut memetik hasil penelitian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang menurutnya bersetuju dengan kesimpulan PwC bahawa penyata kewangan tersebut tidak mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan.

Selain pelaburan saham, kira-kira RM537 juta susut nilai melibatkan beberapa syarikat, hartanah dan aset lain turut didakwa tidak diiktiraf.

Pendedahan itu sekali lagi menimbulkan persoalan besar: bagaimana akaun TH yang didakwa mempunyai salah nyata material masih boleh diberikan pendapat audit bersih?

Madinah wajar diberikan ruang menjawab dakwaan terbaharu ini supaya pertikaian mengenai kedudukan sebenar kewangan TH pada 2017 dapat dinilai secara terbuka dan adil.

BACA JUGA Umno-BN politik sakau, Pas pula politik pukau, penyokong macam kena jampi