Inisiatif 1 Prompt Engineer, 1 NADI lahirkan bakat AI akar umbi
Usaha memperkenalkan kemahiran kecerdasan buatan (AI) kepada masyarakat membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mempelajari teknologi itu menerusi inisiatif 1 Prompt Engineer, 1 NADI.
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha melahirkan bakat AI di peringkat akar umbi menerusi latihan yang membolehkan peserta mempelajari kemahiran berkaitan secara berperingkat.
Menerusi pelaksanaan di pusat NADI, peserta perlu mengikuti kelas secara dalam talian dengan hadir ke pusat NADI berhampiran bagi menyertai sesi pembelajaran bersama tenaga pengajar.
Pengurus NADI Bota, Perak, Alia Aznan berkata, latihan itu dibahagikan kepada tiga peringkat yang perlu dilalui peserta bagi mengasah kemahiran mereka dalam bidang AI.
Peserta bukan sahaja mengikuti kelas, malah perlu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh tenaga pengajar dalam tempoh ditetapkan sebelum meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya.
Menurut Alia, kelas berkenaan lazimnya diadakan sekali seminggu, dengan peserta mengikuti setiap peringkat latihan mengikut susunan yang ditetapkan.
Beliau berkata, hebahan mengenai kelas Prompt Engineer turut dilakukan secara langsung kepada penduduk yang datang ke pusat NADI untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan.
Katanya, pendekatan dari mulut ke mulut itu antara kaedah yang berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat setempat, memandangkan penduduk sering berkunjung ke pusat berkenaan untuk bertanyakan pelbagai perkara.
Menerusi pertemuan itu, petugas NADI mengambil peluang memaklumkan kepada penduduk mengenai kelas yang bakal diadakan, sekali gus memperkenalkan peluang untuk mereka mengikuti latihan kemahiran AI.
Inisiatif berkenaan mencerminkan peranan NADI sebagai pusat yang mendekatkan peluang pembelajaran digital kepada komuniti, selaras dengan usaha melahirkan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang AI.