RCI 2.0 atau badan khas PAC? Audit forensik 14 pelaburan TH lebih mendesak
Ketika Pas mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 2.0 berhubung Tabung Haji (TH), Umno pula mencadangkan sebuah badan khas di bawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Namun persoalannya, perlukah satu lagi badan siasatan ditubuhkan, sedangkan RCI terdahulu sudah memberikan syor yang jelas untuk dilaksanakan?
Ahli Dewan Negara yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berpandangan, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada audit forensik terhadap 14 pelaburan TH yang dikenal pasti bermasalah.
“Daripada Pas mendesak RCI 2.0 dan Umno mencadangkan badan khas PAC, lebih baik kerajaan fokus melaksanakan syor-syor RCI Tabung Haji yang telah sedia ada,” katanya.
Menurut Sheikh Umar, RCI sebelum ini sudah memberikan arah yang cukup jelas, termasuk mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan berkenaan.
Justeru, keutamaan sekarang ialah mencari jawapan tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam pelaburan tersebut, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya siasatan dilakukan sehingga ke “lubang cacing”.
Audit forensik penting kerana persoalannya bukan sekadar berapa banyak wang yang rugi.
Ia perlu mengenal pasti siapa mencadangkan pelaburan, siapa meluluskan, apakah asas penilaian yang digunakan dan bagaimana kerugian besar boleh berlaku.
“Audit perlu meneliti sama ada wujud kecuaian, konflik kepentingan, campur tangan, salah urus atau pelanggaran undang-undang dalam proses pelaburan,” tegas Sheikh Umar.
Salah laku
Sekiranya ditemukan unsur jenayah atau salah laku, dapatan tersebut perlu diserahkan kepada SPRM, PDRM atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
Dengan itu, usaha mencari kebenaran tidak berhenti pada laporan dan perbahasan politik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan.
Pada masa sama, kesemua 14 pelaburan perlu diteliti secara menyeluruh tanpa memilih kes berdasarkan siapa yang terlibat atau sejauh mana ia mendapat perhatian politik.
Pendeposit TH berhak mengetahui bagaimana wang mereka diurus dan siapa yang perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku salah laku.
“Daripada berlumba-lumba mencadangkan RCI 2.0 atau badan khas baharu, lebih baik kerajaan mempercepat audit forensik 14 pelaburan tersebut dan membawa mereka yang terbukti bersalah ke muka pengadilan,” katanya.
Akhirnya, isu Tabung Haji bukan pertandingan siapa mampu mencadangkan lebih banyak jawatankuasa atau suruhanjaya.
Yang lebih penting ialah melaksanakan syor yang sudah ada, membongkar apa yang berlaku dalam 14 pelaburan tersebut dan memastikan setiap pihak yang terbukti bersalah dipertanggungjawabkan.
BACA JUGA Anwar tambah lagi, RM4.9 juta naik taraf 27 prasarana institusi Islam di Pulau Pinang