“Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam” – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI) oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Pentas Utama, Dewan A, MAEPS Serdang Selangor. 28hb Ogos 2026 (Jumaat)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk menanam sebahagian keperluan makanan harian menerusi Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI).

Beliau berkata, kempen itu merupakan kesinambungan semangat Kempen Buku Hijau yang dilancarkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1974, namun kali ini diberi nafas baharu dengan memberi fokus kepada usaha individu dan komuniti setempat.

Menurutnya, rakyat tidak memerlukan tanah luas untuk bercucuk tanam kerana ruang kecil di rumah bertanah, pangsapuri atau kondominium juga boleh dimanfaatkan menggunakan pasu, bekas terpakai, sistem bertingkat atau hidroponik.

“KENDIRI bukan sebuah program yang menuntut rakyat menunggu insentif, geran atau bantuan barangan daripada kerajaan. Sebaliknya, ia satu gerakan sukarela yang boleh dimulakan sendiri di rumah dengan modal sangat minimum,” katanya ketika

Mohamad berkata, pendekatan itu mampu membantu mengurangkan perbelanjaan dapur rakyat selain memperkukuh keterjaminan makanan keluarga ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, krisis tenaga dan perubahan iklim.

Beliau berkata, kerajaan sejak 2014 telah menyalurkan lebih RM114.2 juta bagi Program Pertanian Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 45,000 kebun komuniti dan 251,510 peserta di seluruh negara.

Memasuki Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kerajaan turut menyediakan siling peruntukan RM30 juta bagi memperkukuh projek pertanian komuniti di 1,370 lokasi yang disasarkan memberi manfaat kepada 13,700 peserta.

Katanya, kempen bertemakan “Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam” itu menggalakkan keluarga bermula dengan tanaman yang sering digunakan di dapur seperti cili, sawi, kangkung, daun bawang, pandan, serai dan kunyit.

Mohamad turut berharap aktiviti menanam di rumah dapat dijadikan budaya baharu dalam kalangan rakyat, sekali gus melahirkan komuniti yang lebih berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.