80,000 orang dijangka serbu Putrajaya, warga maya kongsi cara elak kelam-kabut

Bagi yang merancang menyaksikan sendiri perarakan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya esok, persediaan awal mungkin menjadi perkara paling penting selepas lebih 80,000 pengunjung dijangka membanjiri lokasi sambutan.

Daripada soal parkir dan pengangkutan hinggalah tempat terbaik untuk melihat perarakan, warga maya di platform Threads rancak berkongsi pengalaman serta petua berdasarkan pengalaman mereka menghadiri sambutan pada tahun-tahun sebelumnya.

Perkongsian itu khususnya mendapat perhatian mereka yang pertama kali mahu merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan secara langsung di Putrajaya.

Antara yang mendapatkan pandangan warga maya ialah pencipta kandungan Che Sayang Kitchen atau nama sebenarnya Qayyum Halid yang bertanyakan mengenai penginapan, parkir dan lokasi strategik untuk menyaksikan perarakan.

Pertanyaannya menerima lebih 99 komen yang dipenuhi pelbagai cadangan dan pengalaman daripada mereka yang pernah hadir sebelum ini.

Pengguna Threads @_sakurapurple, misalnya, berkata beliau tidak pernah ketinggalan menghadiri sambutan berkenaan dan biasanya tiba bersama keluarga pada petang 30 Ogos.

Menurutnya, mereka turut membawa tikar, payung serta keperluan anak sebelum bermalam di lokasi bagi mengelakkan kesukaran mendapatkan tempat pada hari sambutan.

Sementara itu, pengguna Threads @_iburumiarya yang juga penduduk Putrajaya berkongsi cadangan kepada mereka yang bercadang bermalam di dalam kenderaan.

Beliau mencadangkan kawasan sekitar bawah Jambatan Seri Wawasan, Presint 8 sebagai antara lokasi yang boleh dipertimbangkan, selain berkongsi panduan parkir dan laluan berjalan kaki ke kawasan perarakan.

“Boleh (aplikasi) Waze Sekolah Kebangsaan Presint 8 (2), nanti berhadapan pintu utama ada tanah lapang yang boleh parkir kereta. Sini pun kemudahan berdekatan, semua walking distance (jarak berjalan).

“Kemudian boleh rehat sampai subuh, kemudiannya boleh mula jalan kaki sahaja dari jambatan itu menuju bangunan ANM (Jabatan Akauntan Negara Malaysia),” katanya.

Menurut beliau, mereka yang tidak mahu berjalan terlalu jauh, terutama keluarga yang membawa anak kecil, boleh menyaksikan perarakan dari kawasan hadapan bangunan ANM yang turut mempunyai kerusi dan kios makanan.

Selain lokasi dan parkir, persediaan asas turut menjadi antara perkara yang diingatkan warga maya.

Pengunjung beragama Islam, misalnya, disarankan membawa kelengkapan ibadah seperti semburan wuduk dan sejadah bagi memudahkan urusan menunaikan solat sepanjang berada di kawasan sambutan.

Mereka yang hadir pada hari sambutan juga dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan mengambil kira keadaan trafik, lokasi parkir dan jarak berjalan kaki sebelum tiba di kawasan perarakan.

Bagi pengunjung yang membawa anak kecil, persediaan seperti tikar, payung, kipas mini dan bekalan makanan turut dilihat dapat membantu menghadapi tempoh menunggu yang panjang.

Walaupun sekadar perkongsian di media sosial, pelbagai petua itu menunjukkan orang ramai sudah mula membuat persiapan bagi memastikan pengalaman menyaksikan sambutan Merdeka secara langsung tidak bertukar menjadi pengalaman ‘survival’.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dijadual bermula pada 8 pagi di Dataran Putrajaya esok, dengan lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan sambutan.- BERNAMA.