Bersatu beri amaran: Jangan sampai prosiding PAC ganggu siasatan Tabung Haji

Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan Tabung Haji (TH) tidak seharusnya sampai mengganggu siasatan pihak berkuasa, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berpandangan PAC tidak wajar mengambil alih fungsi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Jabatan Audit Negara (JAN), audit forensik atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana setiap institusi berkenaan mempunyai bidang kuasa dan mandat tersendiri.

Menurutnya, PAC merupakan badan pengawasan Parlimen dan bukannya badan penyiasat jenayah atau mahkamah.

“PAC perlu berhati-hati agar prosidingnya tidak mengganggu siasatan pihak berkuasa yang dikhuatiri menyebabkan berlaku lencongan terhadap siasatan.

“Ia dikhuatiri membuka ruang kepada pihak tertentu menggunakan proses pendengaran PAC sebagai taktik untuk melengah-lengahkan siasatan atau tindakan undang-undang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Kenyataan itu susulan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 25 Ogos lalu supaya PAC menyiasat pengurusan TH berbanding menubuhkan RCI baharu.

Ahmad Zahid berkata PAC boleh menubuhkan badan khas di bawah tanggungjawabnya bagi meneliti pengurusan TH dari 2017 hingga kini, termasuk sebarang dakwaan salah urus.

Namun, Tun Faisal berkata RCI sebelum ini telah pun menjalankan siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Katanya, RCI berkenaan telah meneliti fakta, dokumen, keputusan serta aspek tadbir urus sebelum menghasilkan laporan setebal 211 halaman dengan 25 syor.

“Tidak perlu jadi RCI kedua, Jabatan Audit Negara kedua atau PwC kedua. Selaku badan pengawasan Parlimen, PAC perlu mengawasi,” katanya.

Tun Faisal turut berkata JAN telah menjalankan audit terhadap penyata kewangan TH, termasuk dapatan audit 2017 yang menunjukkan kegagalan merekodkan rosot nilai berjumlah RM227.81 juta.

Daripada jumlah itu, RM164.58 juta membabitkan TH Heavy Engineering, selain isu perubahan polisi rosot nilai yang berlaku beberapa kali.

Beliau berkata PwC pula telah mengenal pasti beberapa isu berkaitan pelaburan TH, termasuk rosot nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu, pelaburan dan pembiayaan kepada anak syarikat, instrumen pendapatan tetap serta nilai saksama pelaburan hartanah.

Justeru, katanya, PAC tidak seharusnya mengambil alih fungsi audit forensik yang memerlukan kepakaran, metodologi serta mandat khusus.

PAC patut kejar 25 syor RCI

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata fokus PAC sepatutnya adalah memastikan 25 syor yang dikemukakan RCI dilaksanakan kerajaan dan TH.

Antara persoalan yang perlu dijawab, katanya, ialah status pelaksanaan setiap syor, tindakan pembetulan yang telah diambil serta kelemahan tadbir urus yang telah diperbaiki.

Beliau turut mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab memastikan setiap syor dilaksanakan serta tindakan susulan terhadap perkara yang memerlukan siasatan atau tindakan undang-undang.

Katanya, SPRM perlu menjalankan siasatan terhadap kesalahan yang berada dalam bidang kuasanya, manakala mahkamah menentukan kesalahan dan liabiliti berdasarkan undang-undang serta bukti.

“Kerajaan mesti melaksanakannya. Pihak berkuasa mesti menyiasat berdasarkan bidang kuasa masing-masing manakala mahkamah menentukan kesalahan serta liabiliti berdasarkan undang-undang dan bukti,” katanya.

BACA JUGA Jangan lupa! Ikuti Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 petang ini