Kerajaan MADANI macam orang gila – Nik Zawawi

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh melontarkan serangan keras terhadap pentadbiran Putrajaya apabila menyifatkan Kerajaan MADANI sebagai “macam orang gila” ketika bercakap mengenai usaha memerangi rasuah.

Kenyataan itu dibuat ketika pemimpin Pas berkenaan berucap dalam Program Ceramah Perdana Penerangan Isu Semasa Pasca Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) peringkat Parlimen Pasir Puteh di perkarangan SRITI Darul Atiq, Bandar Lama, pada 28 April lalu. 

Rakaman tersebut diterbitkan dengan tajuk memetik beliau sebagai berkata, “Kerajaan Madani macam orang gila igak orang, penipu besar lawan rasuah.”

Ungkapan keras itu memperlihatkan nada serangan Nik Zawawi terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya berkaitan agenda tatakelola dan pembanterasan rasuah yang menjadi antara teras utama pentadbiran MADANI.

Namun di sebalik serangan tersebut, rekod terkini menunjukkan Malaysia mencatat peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 apabila memperoleh skor 52 daripada 100 dan berada di kedudukan ke-54 daripada 182 negara. Skor itu meningkat dua mata berbanding 50 pada 2024.

Sebagai perbandingan, Malaysia hanya mencatat skor 47 mata dan berada di tangga ke-61 pada 2022, sebelum Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran sepenuhnya, menunjukkan peningkatan lima mata dalam tempoh berkenaan.

Dari sudut penguatkuasaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jun lalu melaporkan sebanyak 1,095 pertuduhan dan 563 sabitan direkodkan hasil daripada 2,633 kertas siasatan sejak 2024, termasuk 583 kertas siasatan membabitkan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

Kerajaan MADANI turut memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, yang memberi penekanan kepada pencegahan, akauntabiliti, suara rakyat dan penguatkuasaan lebih tegas sebagai sebahagian usaha memperkukuh tatakelola negara.

Pada November tahun lalu, Anwar turut memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa usaha keseluruhan agensi penguatkuasaan dalam membanteras rasuah, ketirisan, penyeludupan dan kartel berjaya memperoleh semula kira-kira RM15.5 bilion untuk kantung negara.

Perkembangan itu memberikan konteks lebih luas kepada serangan Nik Zawawi kerana ketika beliau mempertikaikan usaha kerajaan melawan rasuah, petunjuk antarabangsa serta rekod penguatkuasaan menunjukkan beberapa indikator pembanterasan rasuah negara sedang bergerak ke arah lebih baik.

Bagaimanapun, peningkatan CPI atau jumlah pertuduhan bukan bermaksud masalah rasuah negara sudah selesai, sebaliknya kerajaan masih berdepan tuntutan supaya reformasi institusi dan ketelusan terus dipercepatkan. 

Persoalannya, dengan skor CPI meningkat, ratusan sabitan direkodkan dan berbilion ringgit dipulihkan, sejauh mana label “Kerajaan MADANI macam orang gila” itu mencerminkan rekod sebenar usaha pembanterasan rasuah negara?

BACA JUGA Anwar tambah lagi, RM4.9 juta naik taraf 27 prasarana institusi Islam di Pulau Pinang