PMX umum 6 langkah baharu sempena merdeka, RON95 kini 300 liter sebulan
Enam langkah baharu yang menyentuh subsidi bahan api, pendidikan, teknologi kecerdasan buatan (AI), kesihatan dan bantuan kepada perusahaan kecil akan dilaksanakan kerajaan mulai 1 September ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Antara pengumuman utama ialah kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas subsidi RON95 melalui BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, sekali gus membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati petrol bersubsidi pada kadar berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut akan menerima kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
“Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan,” katanya sempena ucapan Amanat Perdana Menteri sempena kemerdekaan di Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan pendidikan, peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah untuk 2027 akan dinaikkan sebanyak 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Anwar berkata tambahan peruntukan itu meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
“Kementerian Pendidikan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana mulai bulan depan hingga tahun depan,” katanya.
Kerajaan turut membuka program AI untuk Rakyat kepada anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan.
Menurut Anwar, kemudahan itu turut melibatkan aplikasi AI daripada syarikat tempatan serta platform dari China dan akan mula disediakan pada 1 September.
Bagi sektor kesihatan awam pula, kerajaan memperuntukkan sekitar RM1 bilion untuk pendigitalan sistem kesihatan, termasuk pelaksanaan rekod perubatan elektronik yang disambungkan melalui internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Langkah itu dijangka membantu mempercepatkan proses rawatan selain mengurangkan tempoh menunggu pesakit di fasiliti kesihatan awam.
Kerajaan juga bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Dengan perubahan itu, perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.
Dalam usaha membantu peniaga kecil pula, kerajaan akan menambah RM1 bilion kepada kemudahan pembiayaan mikro, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Selain itu, kerajaan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Anwar berkata keseluruhan langkah itu dibuat berdasarkan satu prinsip bahawa manfaat pertumbuhan ekonomi perlu dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
BACA JUGA Aminolhuda : Jika Pas ada nilai Islam, patut tegur politik caci, maki Sanusi