Dari darat ke udara, Putrajaya bergema dengan semangat Patriotik rakyat Malaysia

FOTO BERITA: Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2926 di Putrajaya. 31hb Ogos 2026 (Isnin)

Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini, sekali gus menzahirkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap tanah air.

Sambutan penuh warna-warni sempena ulang tahun kemerdekaan negara itu berlangsung dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Tema berkenaan membawa aspirasi dan komitmen berterusan kerajaan dalam membina Malaysia yang maju, harmoni dan sejahtera, dengan kesejahteraan dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Kemuncak sambutan menyaksikan acara perbarisan dan perarakan membabitkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias, dengan penyertaan keseluruhan seramai 10,819 peserta.

Mereka terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta wakil masyarakat sivil.

Buat julung kalinya, Sambutan Hari Kebangsaan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga, menambahkan lagi keunikan perbarisan tahun ini.

Suasana turut digegarkan dengan persembahan pergendangan “Gema Inovasi MADANI” yang menggabungkan Rebana Inovasi dan Kompang Inovasi bersama pelbagai alat muzik tradisional mewakili komuniti serta wilayah di seluruh Malaysia.

Persembahan itu melibatkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia yang menggambarkan kepelbagaian warisan seni dan budaya sebagai antara kekuatan serta identiti Malaysia.

Tumpuan pengunjung turut terarah ke ruang udara apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempersembahkan aksi skuadron pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter.

Sementara itu, persembahan penutupan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” menghimpunkan 2,350 peserta daripada Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), PERMATA Seni Tari, pelajar Kementerian Pendidikan (KPM), agensi dan jabatan kerajaan, syarikat seni serta NGO seni dan budaya.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menambahkan seri sambutan, bersama kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet serta Duta dan Konsul Asing di Malaysia.

Kehadiran lebih 100,000 pengunjung di Putrajaya pada pagi 31 Ogos itu menjadi gambaran semangat kebersamaan rakyat dalam meraikan kemerdekaan, selain memperlihatkan kepelbagaian masyarakat terus menjadi kekuatan dalam membina sebuah Malaysia yang aman, harmoni dan sejahtera.