Di tengah kontroversi Sanusi maki PMX, Dr Maza ingatkan bukan semua benda pemerintah boleh haramkan

Di tengah-tengah kecaman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu judi dan penggunaan bahasa kesat terhadap Perdana Menteri, satu ceramah Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu judi menjadi perhatian.

Dalam ucapannya, Dr Mohd Asri menegaskan bahawa judi sememangnya haram dan tidak pernah ada pihak yang menyatakan perkara itu sebagai halal.

Malah kata beliau, terdapat undang-undang dan enakmen syariah yang mengambil tindakan terhadap orang Islam yang terlibat dengan perjudian

“Judi haram dan memang kita mengharamkannya. Allah yang mengharamkan. Menyatakan seseorang tidak mengharamkan judi, dalam erti kata syarak, bererti dia mengkafir orang itu. (Dalam isu judi), tidak pernah siapa yang menyatakan judi itu halal. Ia haram.

“Ada tak undang-undang di dalam negeri ini yang mengambil tindakan kepada orang yang main judi? Dalam kalangan orang Islam ada. Ada enakmen syariah. Sebab itu kalau orang pergi ke kedai toto judi itu, dia tulis orang Islam tidak dibenarkan. Betul dak? 

“Cumanya timbul, adakah judi juga patut diharamkan kepada orang bukan Islam. Itu yang timbul,” katanya dalam satu video tular di media sosial.

Dr Maza turut membawa contoh sejarah zaman pemerintahan Saidina Umar berhubung isu cukai ke atas bukan Islam. Beliau memetik riwayat yang disebut oleh Imam Ahmad sebagai dalil kepada salah satu pandangan ulama.

Pandangan tersebut menyatakan bahawa bukan Islam di bawah pemerintahan negara Islam mempunyai hak tertentu dalam urusan kehidupan mereka, namun sekiranya kerajaan mahu mengharamkan sepenuhnya, itu adalah pilihan dasar dan bukan berkaitan hukum agama.

Beliau turut menyentuh mengenai isu ini yang dijadikan bahan politik, dengan menyifatkan tindakan menjadikan isu judi sebagai modal politik tanpa memahami konteks, sebagai satu tindakan yang tidak bijak.

Dr Mohd Asri berkata terdapat juga pandangan lain yang mahu semua bentuk perjudian dihapuskan, termasuk bagi bukan Islam, dan beliau menyambut baik sekiranya pilihan itu dilaksanakan.

Namun, katanya, larangan tersebut merupakan pilihan pemerintah dan tidak semestinya boleh disamakan dengan hukum agama.

“Kalau awak nak pakai pandangan satu lagi, nak hapuskan semua judi, saya juga mengalu-alukan. Baguslah saya kata non Muslim pun tak payah duk ada judi. Tetapi itu bukan agama. Itu satu pilihan yang pemerintah boleh buat,” ujarnya.

Pada masa sama beliau bertanya adakah pihak yang mahu mengharamkan sepenuhnya judi dan arak ini berani meletakkan perkara itu di dalam manifesto mereka nanti.

“Awak nak memerintah Malaysia, awak boleh bubuh manifesto. Kami jika memerintah sama sekali tidak akan membenarkan arak dan judi kepada non Muslim dalam negara ini. Agak-agak mereka berani tak letak dalam manifesto?.

“Inilah masalah dunia Muslim. Berpolitik tapi tidak cerdik. Adakah dia ingat di dalam negara ini orang menghalalkan judi? Tuan-tuan, pemerintah ada hal, bukan semua benda mesti pemerintah haramkan.

“Tatkala orang Islam. Saya nak tanya tuan-tuan, maki hamun orang halalkah haram? Halalkah haram? Ada undang-undang tak? Siapa mengumpat?” Tambahnya lagi.