Ong Kian Ming umum tinggalkan DAP, bakal bantu KJ dalam PRU16
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parti DAP berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, walaupun tidak lagi berperanan sebagai ahli politik, beliau akan terus berkhidmat demi kepentingan negara.
Katanya, beliau akan terus berkhidmat melalui pelbagai cara, termasuk menerusi podcast kendaliannya, jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.
Ong turut menegaskan beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan tidak berhasrat bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, beliau mengesahkan komitmennya untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkempen pada PRU16 sekiranya Khairy diberikan kerusi untuk bertanding, seperti yang dijanjikannya pada 10 Januari lalu.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Ong memaklumkan peletakan jawatannya kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Khoo Poay Tiong.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak saya menyertai parti pada tahun 2012,” katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam politik, Ong pernah menjadi Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 sebelum mewakili Bangi dari 2018 hingga 2022.
Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Menteri MITI dari 2018 hingga 2020, selain dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dari 2019 hingga 2022 dan dipilih menganggotai jawatankuasa negeri DAP Selangor dari 2018 hingga 2024.
Ong turut merakamkan penghargaan kepada Tony Pua yang mengajaknya menyertai DAP serta membimbingnya mengenai cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara.
Beliau turut berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberinya peluang untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi serta sebagai Timbalan Menteri ketika Lim menjadi Setiausaha Agung DAP.