Warga tempatan sewa kereta kepada Rohingya, 34 pemilik kenderaan didakwa di mahkamah

Sehingga Jun tahun ini, seramai 34 pemilik kenderaan di Kelantan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk menyewakan kenderaan kepada warga Rohingya yang tidak memiliki lesen memandu sah.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah hari ini dengan jumlah denda direkodkan adalah sebanyak RM34,000.

Mohd Misuari berkata, menerusi Ops PeWA yang dijalankan dari Januari hingga Jun lalu, sebanyak 85 peratus daripada pesalah warga asing yang dikesan adalah warga Rohingya

Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan tempatan yang membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan mereka.

“Kelantan antara negeri terawal membawa pemilik kenderaan terus ke mahkamah sebagai sebahagian usaha menjadikan penguatkuasaan lebih berkesan

“Sehingga Jun lalu, sebanyak 34 kes membabitkan pemilik kenderaan dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM34,000,” katanya memetik Berita Harian. 

JPJ Kelantan semalam dilaporkan telah mengenal pasti taktik baharu membabitkan warga Rohingya yang menyewa kenderaan daripada penduduk tempatan, termasuk model mewah, untuk urusan harian mereka.

Warga asing terbabit dikatakan tidak membeli kenderaan secara terus, sebaliknya menyewanya daripada penduduk tempatan dengan kadar antara RM50 hingga RM500 sebulan.