Beras tempatan belum cukup ‘selamat’, kerajaan sasar SSR cecah 80%
Kebergantungan negara terhadap bekalan beras dari luar perlu dikurangkan apabila tahap sara diri (SSR) beras nasional ketika ini masih berada di bawah 60 peratus, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata kadar tersebut belum cukup kukuh untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan ruji negara berada pada tahap selesa, justeru sasaran SSR beras perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 80 peratus.
Menurutnya, kementerian akan terus memperkukuh ekosistem padi dan beras bagi meningkatkan pengeluaran tempatan serta memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Antara usaha berkenaan ialah menggalakkan syarikat dan pihak berkemampuan membuka kawasan sawah lebih besar dengan kerjasama kerajaan negeri dalam menyediakan tanah yang bersesuaian.
“Kita mahu meningkatkan produktiviti dan memperkukuh rantaian bekalan menerusi peluasan penggunaan teknologi… kita mahu menggalakkan inovasi dan membuka lebih banyak peluang penciptaan nilai kepada seluruh rantaian industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 semalam.
Usaha meningkatkan SSR itu antara lain akan memberi tumpuan kepada peluasan kawasan penanaman padi, peningkatan produktiviti serta penggunaan teknologi dalam industri.
Kerjasama dengan kerajaan negeri juga diperlukan bagi mengenal pasti dan menyediakan kawasan yang sesuai untuk pembukaan sawah berskala lebih besar.
Dalam masa sama, inovasi dan teknologi dilihat penting untuk meningkatkan hasil serta memperkukuh rantaian bekalan daripada peringkat pengeluaran sehingga ke pasaran.
Dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus, kerajaan mahu memastikan pengeluaran beras tempatan berada pada tahap yang lebih kukuh bagi menghadapi sebarang risiko terhadap bekalan makanan ruji negara.- BERNAMA
BACA JUGA Kain rentang anti-Rohingya muncul, siapa pasang dan apa puncanya?