MAHA 2026 CATAT RM1.49 BILION HARI PERTAMA, MOHAMAD SABU YAKIN SASARAN RM8 BILION MAMPU DILEPASI

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohammad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di MAEPS Serdang, Selangor. 28hb Ogos 2026 (Selasa)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin nilai perdagangan dan pelaburan sepanjang MAHA 2026 berpotensi melepasi sasaran RM8 bilion selepas sebanyak 14 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1.49 bilion berjaya dimeterai pada hari pertama MAHA Trade Days.

Beliau berkata, lebih banyak MoU dijangka dimeterai secara berperingkat sehingga 6 September, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap industri agromakanan serta sektor berkaitan makanan di Malaysia.

“Pada hari pertama sahaja kita menyaksikan 14 MoU dengan nilai RM1.49 bilion. Banyak lagi MoU akan ada berselang hari sampai 6 haribulan.

“Sasaran RM8 bilion, kemungkinan akan lebih daripada RM8 bilion kali ini, insya-Allah,” katanya pada sidang media sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang.

Mohamad berkata, kerajaan mahu menggunakan momentum MAHA untuk memperluaskan kehadiran produk agromakanan Malaysia di pasaran antarabangsa, terutama di Eropah, Eropah Timur, Asia Tengah dan Afrika.

Menurutnya, ketika ini produk makanan dari negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand mempunyai kehadiran yang kukuh di beberapa pasaran berkenaan, justeru Malaysia perlu lebih agresif mengetengahkan produk tempatan.

Beliau berkata, antara pasaran baharu yang sedang diberi perhatian ialah Afrika, termasuk Kenya, sejajar dengan perkembangan ekonomi di benua itu serta potensi permintaan terhadap produk makanan.

Kerajaan turut merancang memperkukuh kehadiran perdagangan pertanian Malaysia di Asia Tengah menerusi penempatan atase pertanian di Uzbekistan, yang dilihat strategik kerana kedudukannya berhampiran Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Afghanistan.

“Kita akan beroperasi daripada situ untuk ke arah memasarkan barangan, terutama produk pertanian daripada Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata, antara produk Malaysia yang mempunyai potensi besar di pasaran antarabangsa ialah kopi yang diproses dalam negara, koko, nanas dan durian termasuk produk hiliran berasaskan buah berkenaan.

Menurut beliau, industri kopi Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri walaupun sebahagian bahan mentah diimport sebelum diproses dalam negara, dan produk kopi tempatan kini sudah berada di banyak pasaran dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan juga sedang memberi perhatian kepada keperluan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2027 bagi membantu sektor pertanian menghadapi kemungkinan fenomena El Niño yang lebih serius tahun depan.

Katanya, peruntukan tambahan mungkin diperlukan bagi penyediaan baja, input pertanian serta peralatan atau kaedah yang mampu meningkatkan ketahanan tanaman terhadap kemarau dan suhu tinggi.

Beliau berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Kementerian Kewangan dan terdapat persetujuan supaya keperluan tambahan sektor pertanian dipertimbangkan dalam penyediaan belanjawan akan datang.

Mohamad pada masa sama menegaskan program subsidi akan diteruskan bagi subsektor yang masih memerlukannya, termasuk tanaman padi dan perikanan, manakala subsidi bagi sektor yang sudah mampu berdikari boleh dinilai semula.

“Program subsidi diteruskan, cuma kita kena lihat dari masa ke semasa. Macam dulunya subsidi ayam dan telur, bila keadaan telah pulih, maka kita hentikan. “Misalnya sawah padi perlu diteruskan lagi kerana cara penghasilannya tidak lagi seimbang kalau tidak dibantu dengan subsidi. Begitu juga nelayan, perlu subsidi diteruskan,” katanya.

Mengulas 14 MoU yang dimeterai pada hari pertama MAHA Trade Days, Mohamad berkata antara kerjasama terbesar melibatkan pelaburan kira-kira RM1.03 bilion bagi pembangunan kemudahan pemprosesan nanas di Miri, Sarawak, yang turut membuka ruang kepada peluasan eksport produk nanas Malaysia.

Sementara itu, berhubung kemungkinan kesan jerebu terhadap sektor pertanian, beliau berkata kementeriannya sedang mendapatkan laporan terperinci daripada agensi berkaitan sebelum menentukan bentuk tindakan atau bantuan sekiranya terdapat pengusaha yang mengalami kerugian.

MAHA 2026 berlangsung di MAEPS, Serdang dengan kerajaan meletakkan acara itu bukan sahaja sebagai pameran pertanian, malah platform untuk meningkatkan perdagangan, menarik pelaburan serta membawa produk agromakanan Malaysia menembusi pasaran dunia.