Nahas 11 kenderaan: Anwar minta siasatan teliti punca tragedi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan teliti bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Temerloh yang meragut empat nyawa, termasuk sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut menyampaikan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.
Anwar berkata beliau telah meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga setiap kali berada di jalan raya.
Kemalangan itu berlaku kira-kira 10.44 malam tadi di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) arah timur berhampiran Lanchang, Temerloh dan membabitkan 11 kenderaan.
Empat mangsa maut dalam kejadian berkenaan, termasuk tiga sekeluarga yang menaiki sebuah Proton S70.
Mereka ialah Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun.
Seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, turut maut dalam kemalangan berkenaan manakala anak lelakinya yang berusia 18 tahun dilaporkan cedera parah.
Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku selepas sebuah lori tangki simen hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang bergerak perlahan di hadapannya.
Pemandu lori berusia 52 tahun itu turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Kemalangan itu turut menyebabkan beberapa individu cedera manakala puluhan penumpang bas ekspres yang terbabit dalam kejadian dilaporkan selamat.
Lebih menyayat hati, keluarga Nur Atiqah dipercayai baru pulang selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya sebelum terlibat dalam nahas tersebut.
Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk keadaan kenderaan dan faktor lain yang mungkin menyumbang kepada tragedi berkenaan.
BACA JUGA RCI Tabung Haji belum reda, bekas menteri pula ditahan SPRM