Ratu cantik transgender cetus kontroversi, Mufti WP tegas tolak normalisasi

Penyertaan seorang individu yang didakwa membawa nama Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand mencetuskan reaksi tegas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) yang menolak sebarang usaha untuk menormalisasikan aktiviti berkenaan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata tindakan individu terbabit bukan sahaja mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa, malah jelas bercanggah dengan ajaran Islam, prinsip Maqasid Syariah, norma budaya serta nilai kesopanan yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, JMWP berkata pihaknya menyokong penuh kecaman yang disuarakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung penyertaan individu terbabit dalam pertandingan ratu cantik transgender yang berlangsung di Bangkok pada 30 Ogos lalu.

Menurut JMWP, sebagai institusi fatwa dan penasihat agama di Wilayah Persekutuan, pihaknya menegaskan bahawa sebarang bentuk penganjuran, penyertaan atau publisiti terhadap aktiviti yang mempromosikan gaya hidup transgender tidak pernah mendapat kebenaran mahupun sokongan daripada pihak berkuasa agama.

JMWP berkata perbuatan menyerupai jantina berlawanan atau tasyabbuh serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak mendapat pengiktirafan di sisi undang-undang Syariah di Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, JMWP menyeru umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan supaya tidak mensensasikan, mengagung-agungkan atau menormalisasikan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya mempertahankan nilai moral, akidah dan adab sebagai benteng ummah.

Isu itu tercetus selepas video seorang individu yang didakwa mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender antarabangsa tular di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Pendirian JMWP itu menyusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang sebelum ini menegaskan bahawa penganjuran atau penyertaan dalam acara ratu cantik transgender tidak pernah mendapat sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia mahupun pihak berkuasa agama.

Zulkifli turut mengecam tindakan individu berkenaan yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Beliau berkata pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berdasarkan perundangan sedia ada.

Dalam perkembangan sama, JMWP berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk memantau perkembangan isu berkenaan serta meneliti sebarang tindakan susulan yang boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JMWP pada masa sama mengingatkan bahawa Islam menuntut umatnya menjaga maruah diri, akhlak dan fitrah kejadian manusia, selain menyeru masyarakat supaya bersama-sama mempertahankan nilai moral, akidah dan institusi kekeluargaan daripada pengaruh yang dianggap boleh menjejaskan generasi akan datang.

BACA JUGA Siapa bagi kebenaran? Kerajaan Malaysia nafi sokong ratu cantik transgender