Tandas pun tak lepas, anak Kelantan sendiri ‘bagi markah’ kebersihan negeri

Seorang pengguna nedia sosial mendakwa sukar menemui tandas yang bersih dan sempurna sepanjang dua hari berada di beberapa lokasi di Kelantan.

Pengguna Threads, Nidzra_Radzwan membangkitkan persoalan tersebut selepas mendakwa keadaan sama ditemuinya di beberapa tempat meskipun kemudahan tandas berkenaan mengenakan bayaran.

“Dah dua hari berada di beberapa tempat di Kelantan tapi tiada satu pun tandas awam yang bersih dan sempurna meskipun berbayar. Kenapa?” tulisnya.

Apa yang lebih menarik, rungutan itu bukan sekadar disambut pengunjung dari luar negeri, malah beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai rakyat Kelantan sendiri mengakui isu kebersihan berkenaan bukan sesuatu yang asing.

Pengguna bernama Nuraina Azaman misalnya berkata, beliau sebagai orang Kelantan bersetuju bahawa aspek kebersihan, termasuk tandas, masih berada pada tahap mengecewakan.

Seorang lagi pengguna, nissyuhada, yang juga berasal dari Kelantan tetapi sudah 20 tahun menetap di Selangor turut meluahkan rasa.

Beliau berpendapat keadaan sedemikian mungkin sudah terlalu biasa bagi sebahagian masyarakat sehingga tidak lagi dianggap luar biasa.

Sementara itu, Azliza Abdullah pula menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang memalukan sebagai anak Kelantan.

“Sebagai orang Kelantan, benda ni paling memalukan. Hakikat yang perlu diterima,” katanya.

Reaksi netizen seterusnya melebar kepada pengurusan kebersihan kawasan awam apabila ada yang mempersoalkan keadaan sampah termasuk di kawasan tumpuan pelancong.

“Kenapa tepi jalan, tempat pelancongan, pantai, homestay, hotel penuh sampah? Tak ada orang majlis perbandaran ke? Ke semua pemalas?” tempelak adhdierrrr4444.

BACA JUGA BUDI95, AI percuma dan e-invois – 3 ‘hadiah merdeka’ PMX paling raih sambutan rakyat