Tiga tahun cerita sama, Tun M pilih untuk ‘meminggir’ beberapa minit
Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di kawasan orang awam ketika sambutan Hari Kebangsaan sekali lagi mencetuskan naratif bahawa bekas Perdana Menteri itu dipinggirkan.
Namun pemerhati politik Hasnita Shaari berpandangan situasi berkenaan bukan sesuatu yang mengejutkan.
Beliau berpendapat corak sama sudah berlaku selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024 apabila Tun M hadir ke sambutan berkenaan sebagai orang awam dan berada di kawasan berasingan daripada pentas utama.
Menurutnya, keadaan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu kemudiannya mencetuskan persepsi bahawa negarawan berusia lebih 100 tahun tersebut diketepikan.
Walhal, tegasnya, Tun Mahathir sendiri memilih untuk berada di lokasi berkenaan hanya untuk tempoh beberapa minit.
“Tiga tahun berturut-turut begitulah dia tiap kali perarakan kemerdekaan. Di satu sudut yang tidak boleh dihampiri sesiapa pun.
“Dijagai pengawal-pengawal peribadi yang memang diperuntukkan untuk semua bekas Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hasnita mendakwa tempoh singkat Tun Mahathir berada di situ sudah cukup untuk menghasilkan gambaran politik yang berpanjangan di media sosial.
“Dan setiap kali selama tiga tahun, naratifnya sama. Dipinggirkan. Sedangkan dia yang memilih untuk ‘meminggir’ di situ selama beberapa minit.
“Bukan berjam-jam, tapi sekejapnya itu membawa persepsi berhari-hari, malah mungkin berbulan,” katanya.
Semalam, Mahathir yang berhadir ke Dataran Putrajaya menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Dia dilihat melambaikan tangan ke arah pengunjung sambil duduk di atas kerusi roda elektrik selain sempat berjumpa dan beramah mesra dengan orang ramai.
Mengulas lanjut, Hasnita turut mengimbas bahawa Mahathir pernah dijemput berada di pentas utama pada sambutan 2022.
Namun, ujarnya, Mahathir tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital, manakala pada 2023 beliau juga tidak hadir atas faktor kesihatan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa ketajaman bekas Perdana Menteri itu membaca dan membentuk persepsi politik tidak boleh dipandang ringan walaupun usia Mahathir semakin lanjut,
“Beliau negarawan, tapi tetap seorang ahli politik paling licik.
“Ya, dia dah tua tapi pemikiran politiknya masih tajam,” katanya lagi.
BACA JUGA BUDI95, AI percuma dan e-invois – 3 ‘hadiah merdeka’ PMX paling raih sambutan rakyat