Dua nama pemimpin Umno ini disebut-sebut sebagai bekas menteri yang ditahan SPRM

Dua nama pemimpin Umno kini disebut-sebut susulan penahanan seorang bekas menteri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam. 

Ia bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Antara nama yang menjadi tumpuan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

SPRM sebelum ini hanya memberi petunjuk bahawa individu berkenaan merupakan bekas menteri berusia lingkungan 60-an yang ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. 

Beberapa poster yang berlegar di media sosial, mengaitkan nama Jamil Khir dengan transaksi pajakan empat hotel di bawah Tabung Haji bernilai kira-kira RM1.5 bilion.

Jamil Khir, yang kini berusia 65 tahun, memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari 2009 hingga 2018, manakala Asyraf Wajdi pernah menjadi Timbalan Menteri di portfolio sama dari 2015 hingga 2018.

Rekod menunjukkan perjanjian pajakan empat hotel di Makkah dan Madinah antara Tabung Haji dan syarikat Al-Rawda dibuat antara 2015 hingga 2017, ketika Jamil Khir memegang portfolio menteri yang menjaga hal ehwal agama.

Perjanjian itu dibuat antara 2015 hingga 2017, dengan nilai keseluruhan sekitar RM1.426 bilion (RM1.5 bilion)

Pada Januari 2018, Jamil Khir turut hadir ketika Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan logo Tabung Haji di bangunan penginapan jemaah haji di Madinah yang terbabit dalam perjanjian pajakan tersebut. 

Menurut laporan The Edge, daripada transaksi Al-Rawda itu, Tabung Haji kemudiannya berdepan masalah apabila syarikat berkenaan gagal membayar sewaan sejak Mac 2019. 

Setakat Disember 2021, tunggakan sewa dilaporkan mencecah sekitar RM595 juta, manakala TH mengambil tindakan penguatkuasaan di mahkamah Arab Saudi terhadap Al-Rawda dan pemiliknya. 

Sebelum ini RCI Tabung Haji menegur tentang penyewaan jangka panjang oleh TH bagi empat hotel di Makkah dan Madinah antara 2015 hingga 2017, yang melibatkan kira-kira 1.43 bilion riyal Saudi dalam pembayaran pendahuluan.

Laporan RCI menyebut tentang kelemahan dalam proses usaha wajar dan kawalan risiko, manakala bayaran sewa kemudiannya tertunggak sehingga mendorong TH mengambil tindakan undang-undang di Arab Saudi.

BACA JUGA RCI Tabung Haji belum reda, bekas menteri pula ditahan SPRM