Kalau nak ‘tiaw’ PMX pun semaklah dulu Akmal, takut peluru kena diri sendiri
Pemuda AMANAH Perak membidas Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang secara melulu mengkritik kerajaan susulan isu pembayaran kepada kontraktor di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, adalah lebih baik untuk Akmal bertanya dahulu apa yang berlaku di kementerian di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum mahu mengkritik Perdana Menteri.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), peruntukan KKDW bagi projek Jalan Luar Bandar telah disalurkan sepenuhnya, manakala kekangan pembayaran berlaku selepas peruntukan tahun semasa hampir dibelanjakan sepenuhnya.
KKDW juga sejak beberapa tahun lalu telah berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan.
“Jadi sebelum mahu ‘tiaw’ PMX dan mempersoalkan kerajaan tidak cukup duit, mungkin elok Akmal bertanya dahulu apa yang berlaku di kementerian yang dipimpin oleh Presiden partinya sendiri.
“Lebih menarik, MOF bukan sahaja tidak menyekat peruntukan, malah telah meluluskan tambahan RM300 juta pada 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan pembayaran kepada kontraktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairol berkata, MOF turut sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung keterlebihan komitmen KKDW.
Menurutnya, Pemuda AMANAH Perak tidak berminat menjadikan perkara itu sebagai pertelingkahan sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana perkara lebih penting ialah nasib kontraktor yang telah melaksanakan kerja dan berhak menerima bayaran.
“Namun apabila tuduhan dilemparkan secara terbuka terhadap kerajaan dan PMX, maka fakta juga mesti dijelaskan secara terbuka.
“Kritiklah kerajaan jika ada kelemahan. Itu hak sesiapa sahaja. Tetapi jangan tembak dahulu, semak kemudian.
“Takut akhirnya peluru yang dilepaskan terkena kementerian sendiri,” katanya.
BACA JUGA MOF: Bukan bajet kena sekat, rupanya KKDW terlebih belanja