Menteri Agama bersuara tegas, tolak tayangan ‘Madu atau Racun’
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama “Madu atau Racun” yang disifatkan telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya amat kesal terhadap tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Menurut beliau, penerapan unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran perlu dibendung bagi memastikan pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.
“JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan garis panduan serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, langkah itu adalah bagi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.
Dalam pada itu, Zulkifli menyeru semua penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan.